“Masuk kedai penuh lalat, bau bunga rampai” – Cat Farish dedah punca kedai isteri ditutup

Oleh MAISARAH AISYA

Menjalankan perniagaan, terutamanya kedai makan, bukanlah satu perkara yang mudah seperti disangka.

Ia menuntut komitmen tinggi, pengurusan rapi serta kesabaran yang berpanjangan dalam menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kos operasi yang meningkat dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah.

Penyanyi dan komposer Cat Farish sebelum ini membuat kejutan dengan menghadiahkan satu unit kedai buat isteri, Shikini Maembong pada April lalu.

Bagaimanapun tidak sampai setahun berniaga, Cat mengumumkan kedai Cekopis yang diusahakannya sudah ditutup dua bulan lalu kerana kurang pelanggan dan lokasi tidak strategik lapor Harian Metro.

“Lokasi kedai tidak strategik kerana semua kedai yang sederet dengan kami tutup dan kawasan lorong itu seolah-olah ‘mati’.

“Isteri saya juga berasa ‘stress’ (tekanan) kerana banyak kali kami berniaga ada saja ‘gangguan’ dihadapi hingga kami selalu bergaduh pasal bisnes.

“Pernah berlaku bila kami masuk kedai tiba-tiba ada banyak lalat dan macam bau bunga rampai (mawar).

“Malah, ada saja orang mengata bila tengok kami berdua bahagia memasak dan pergi sana sini dan cakap hubungan kami tak akan kekal lama,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Namun Shikin berkongsi antara faktor perniagaan terhenti adalah kerana kualiti makanan selepas sering menerima aduan mengenai rasa makanan tersebut.

“Sebenarnya, saya sudah mengajar pekerja buat Cekopis (popia cekodok pisang) banyak kali, tetapi tetap ada aduan diterima dari pelanggan yang bertanya kenapa rasa tak sama?

“Saya pula lebih suka buat sendiri Cekopis yang dijual kerana tidak mahu ada aduan dari pelanggan.

“Jadi bila sudah tidak meniaga Cekopis, saya kini kembali melukis sepenuh masa dan menjual lukisan,” kongsi Shikin.

Baca juga: Agensi umrah siasat isu pelakon buat ‘gender reveal’ depan Kaabah dengan suami mutawif