Tindakan seorang pelakon tanah air memuat naik video ketika membuat pendedahan jantina atau ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah telah mengundang perbincangan hangat di platform media sosial baru-baru ini.
Orang ramai dilihat meluahkan perasaan kurang senang dengan tindakan pelakon terbabit yang disifatkan kurang beradab serta tidak menjaga sensitiviti tempat ibadah terutama peraturan dan suasana Masjidil Haram.
Mereka juga mempersoalkan peranan suami kepada pelakon terbabit yang dikatakan bergelar mutawif namun tidak menegur perbuatan isterinya malah membiarkan wanita terbabit memuat naik video itu di media sosial.
Sehubungan dengan itu pihak pengurusan agensi umrah, In Saff Travel & Tours tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tingkah laku ketua rombongan (group leader) mereka bersama isterinya di Tanah Suci itu.
Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Instagram, pihak pengurusan menegaskan bahawa mereka memandang serius dan sedang melakukan siasatan dalaman secara adil serta berhemah berhubung isu tular tersebut.
Teguran rasmi juga sudah dikeluarkan kepada individu terlibat malah kandungan berkaitan telah diturunkan dari platform media sosial selain membuat permohonan maaf secara terbuka melalui akaun milik pelakon berkenaan.
“Sekiranya siasatan mendapati ada sebarang pelanggaran etika, prosedur operasi standard (SOP) atau ketetapan syarak, tindakan sewajarnya akan diambil tanpa kompromi.
“Pemantauan serta latihan kepada semua ‘group leader’ (ketua rombongan) dan petugas turut akan diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian berulang. Kami menghormati kesucian Tanah Haram dan menghargai keprihatinan orang ramai.
“Sehubungan itu, kami memohon semua pihak memberi ruang agar siasatan dapat diselesaikan secara profesional. Terima kasih atas perhatian serta kepercayaan berterusan kepada IN SAFF TRAVEL,” kata pihak pengurusan dalam kenyataan itu.
Terdahulu pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi tampil membuat permohonan maaf serta mengakui kekhilafannya susulan tindakan memuat naik video gender reveal di hadapan Kaabah.
Pemilik nama sebenar Nurazneera Azizi, 27, itu berkata bahawa video dibuat sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan Allah SWT namun tidak menyangka perbuatan itu dianggap kurang beradab oleh segelintir pihak.
Namun Neera tetap menerima segala teguran dengan hati terbuka dan berjanji tidak akan mengulangi kekhilafan sama di masa hadapan selain menegaskan bahawa isu itu tiada kaitan dengan pihak agensi.
Baca juga: CEO kongsi cabaran di sebalik tabir, pasukan produksi pening nak hasilkan Papa Zola versi muda!