Sejak kecil sudah bersahabat, dua lelaki dari India tidak menyangka penemuan satu berlian mampu mengubah hidup mereka.
Satish Khatik dan Sajid Mohammed menemui seketul batu besar yang berkilau di sebidang tanah di Panna yang baru mereka pajak beberapa minggu sebelum itu lapor BBC.
Apabila mereka menyerahkan batu tersebut kepada penilai berlian rasmi bandar itu, mereka mendapati bahawa ia merupakan sebuah berlian berkualiti permata.
Berat berlian tersebut mencecah 15.34 karat (3 gram) dan tergolong dalam salah satu jenis berlian semula jadi terbaik yang wujud.
“Harga pasaran anggaran bagi batu ini adalah sekitar lima hingga enam juta rupee (RM226,000 hingga RM271,000) dan ia akan dilelong tidak lama lagi,” kata penilai berlian kerajaan, Anupam Singh kepada BBC Hindi.
Kerajaan mengadakan lelongan setiap suku tahun, menarik pembeli dari seluruh India dan luar negara untuk menawar berlian-berlian tersebut.
“Harga anggaran bergantung pada kadar dolar dan penanda aras yang ditetapkan oleh laporan Rapaport,” jelas Encik Singh.
Keduanya datang daripada keluarga miskin dan masing-masing adalah anak bongsu dalam keluarga.
Khatik, 24, bekerja sebagai pengurus kedai daging manakala Mohammed, 23, bekerja sebagai penjual buah-buahan.
Selama beberapa generasi, keluarga kedua sahabat itu telah mencuba nasib mencari berlian, satu usaha biasa di kalangan penduduk daerah itu.
Kongsi Mohammed, bapanya dan datuknya telah menggali tanah-tanah ini selama beberapa dekad tetapi hanya menemui ‘habuk dan serpihan kuarza’.
Baca juga: Rakan sekerja lelaki gurau kasar, nak tolong ‘hamilkan’ sebab lambat mengandung