Seorang wanita tidak menyangka rakan sekerja lelaki yang sudah berusia tergamak mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan berhubung isu peribadi kononnya di atas dasar gurauan.
Lebih memburukkan keadaan, kata-kata yang dilontarkan oleh rakan sekerjanya itu bukan sahaja berlebihan malah tidak sepadan dengan latar belakangnya sebagai seorang lelaki Melayu berusia.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita terbabit mengakui sudah lama berkahwin namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri.
Situasi itu bagaimanapun digunakan oleh lelaki terbabit untuk dijadikan sebagai bahan gurauan di hadapan rakan sekerja lain di pejabat tanpa merasa malu mahupun memikirkan perasaan mangsa.
“Aku sudah lama kahwin. Tetapi belum ada rezeki zuriat. Ada satu ayat daripada rakan sekerja ini yang aku ingat sampai sekarang. Katanya, ‘Kamu ini lambat betul hamil, marilah sini aku mengandungkan. Senang’.
“Diiringi dengan gelak ketawa dia. Aku tak balas apa-apa langsung. Sebab umur dia jauh lagi tua dari aku. Kejadian pula berlaku di hadapan rakan-rakan sekerja yang lain. Jadi aku tak tahu nak balas apa.
“Memang tidak terkata sebab tak sangka ayat macam itu boleh keluar daripada mulut orang tua,” kata wanita itu menerusi hantaran dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads memberikan cadangan agar wanita terbabit membuat laporan kerana gurauan lelaki berkenaan adalah satu bentuk gangguan seksual.
Ramai juga pengguna berceritakan pengalaman peribadi mereka apabila berhadapan dengan situasi sama malah ada juga individu tampil berkongsikan laporan kes mahkamah berhubung gangguan rakan sekerja.

Baca juga: “Bukan untuk saya, tapi untuk anak” – Kamal Adli elak kenyataan bodoh, ikut prosedur cerai