Perkongsian seorang peniaga mengenai dugaan yang menimpa sehingga menyebabkan gerai miliknya sering ditutup telah mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, dugaan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan gangguan mistik berikutan peniaga makanan terbabit mengalami beberapa siri kejadian aneh termasuk hidangan rosak meskipun baru disediakan.
Berdasarkan perkongsian dimuat naik di platform TikTok, penjual nasi lemak daging salai itu memaklumkan antara kejadian aneh yang berlaku adalah sambal dimasak pada awal pagi akan berkulat sebaik keluar berniaga.
Malah nasi lemak yang baru dimasak serta masih panas juga tiba-tiba menjadi kehijauan dan mengeluarkan bau sangat tidak menyenangkan sebaik sahaja diletakkan ke dalam bekas khusus untuk dibawa ke gerai.
Peniaga itu juga menemui ulat bersaiz kecil dipercayai keluar daripada hirisan daging yang baru sahaja disalai dan kejadian-kejadian ini menyebabkan gerai miliknya sering ditutup walaupun mendapat sambutan hangat.
“Kenapa kejap-kejap, cuti. Kejap-kejap cuti padahai gerai laku sahaja kan? Betul memang laku. Tetapi sebab lakulah kami terus ditimpa dugaan. Sebenarnya sudah lama kena. Namun malas sahaja nak bersuara.
“Tetapi makin diam, makin menjadi pula. Kepada pelaku, awak sudah berjaya sebenarnya buat kami sakit. Namun awak lupa, kuasa Allah lagi besar. Awak kena ingat, semua yang jadi ini juga sebab Allah yang izinkan.
“Puas kami cari punca mana datangnya makhluk (ulat) ini. Tiba-tiba penuh di atas meja. Kami peniaga kecil sahaja. Kenapa tergugat? Rezeki itu Allah yang kurniakan. Andai saya tak berniaga, kalau tiada rezeki awak tetap rugi,” kesalnya.
Menerusi perkongsian video berdurasi satu minit dua saat itu, peniaga terbabit turut mendoakan supaya dirinya dan orang ramai tidak tergolong dalam kalangan umat Muslim yang syirik di akhir zaman.
Peniaga terbabit juga menafikan bahawa perkongsian itu dibuat untuk menjatuhkan mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu berkongsi cerita mengenai perjalanan jatuh bangun dalam menceburi bidang perniagaan.
“Kami pernah diuji dengan sihir sehinggakan rezeki terasa sempit dan urusan terganggu. Bila Allah beri petunjuk, kami kembali kuat dengan doa dan pergantungan penuh kepadaNya. Setiap ujian ada hikmah. Doakan kami kuat dan istiqamah.” Ujarnya.
Baca juga: Isu bantuan banjir: Rakyat Indonesia cipta lagu, luahkan kemarahan pada pemerintah