Satu keluarga terkejut! Ini respon adik-beradik bila Adira dilapor rujuk dengan Datuk Red

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka laporan media yang mendakwa penyanyi, Adira Suhaimi kembali rujuk dengan bekas suaminya iaitu usahawan dikenali sebagai Datuk Red bukan sahaja mengejutkan peminat malah ahli keluarganya sendiri.

Menerusi ruangan komen Instagram milik portal hiburan yang melaporkan perkara tersebut, kakak kepada Adira iaitu Emma Suhaimi mengakui seluruh keluarganya terperanjat apabila menerima khabar tersebut.

Emma yang juga merupakan penyanyi itu mengakui tidak dapat menahan emosi namun tidak menyalahkan portal hiburan tersebut kerana memahami tugas media untuk melaporkan maklumat daripada sumber.

Pemilik nama sebenar Erma Suhaimi itu juga mendakwa mengetahui sumber yang menyampaikan maklumat cukup mengejutkan berkenaan iaitu Datuk Red sendiri atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adenan Abu.

“Celah mana pula? Satu keluarga terkejut mendadak ini. Kami semua sabar sekejap. Saya tengah baran ini. Tetapi ini bukan salah Mstar. Mereka cuma mendapat maklumat dari ADENAN.

“Tidak mengapa, kamu semua mesti terkejut macam mana keluarga Ami (Adira) sendiri pun terkejut. Samalah kita,” kata Emma menerusi ruangan komen Instagram Mstar berhubung laporan tersebut.

Komen ditinggalkan oleh adik-beradik Adira yang lain membuktikan bahawa ahli keluarga tidak tahu menahu mengenai dakwaan penyanyi terbabit kembali rujuk dengan bekas suaminya.

Terdahulu, Datuk Red didakwa memfailkan permohonan pengesahan rujuk tanpa pengetahuan Adira pada Rabu lalu di Mahkamah Syariah Gombak Barat dan sebutan kes dijadualkan berlangsung pada Januari 2026.

Rujuk dikatakan berlaku dalam tempoh idah namun kes berkenaan masih berada di peringkat sebutan dan perlu dirujukkan kepada pihak mahkamah syariah terlebih dahulu sama ada perkara itu sah ataupun sebaliknya.

Sekadar info, Adira mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan sensasi terbabit pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum mereka memutuskan untuk bercerai pada 24 April tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup bersama, bekas pasangan suami isteri itu dikurniakan dengan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob yang kini berusia 3 tahun.

Baca juga: Tular video keluar bersama, peguam sahkan Faisal Halim rujuk dengan bekas isteri