Tular video keluar bersama, peguam sahkan Faisal Halim rujuk dengan bekas isteri

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru tular satu rakaman memaparkan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim muncul bersama bekas isterinya iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril selepas sah bercerai talak dua pada akhir bulan lalu.

Gelagat mereka yang terlihat mesra dalam video tersebut telah menimbulkan tanda tanya orang ramai sekiranya pasangan berkenaan sudah kembali rujuk ataupun hanya mengekalkan hubungan baik demi anak.

Menjawab persoalan tersebut, peguam yang mewakili Faisal iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan bahawa anak guamnya itu sudah kembali rujuk dengan bekas isterinya pada 9 Disember lalu.

Sehubungan dengan itu, Datuk Akberdin akan membuat permohonan rujuk di mahkamah dalam waktu terdekat dan mengakui tumpang gembira apabila rumah tangga anak guamnya dikhabarkan kembali pulih, lapor Mstar.

Akberdin menjelaskan bahawa pasangan itu memilih jalan untuk berdamai baru-baru ini selepas mendapati bahawa mereka masih menyimpan perasaan sayang dan ingin membesarkan anak lelaki mereka bersama.

“Alhamdulillah, betul Faisal dan bekas isterinya sudah kembali rujuk. Saya akan memfailkan permohonan rujuk ini dalam waktu terdekat. Soal jodoh ini rahsia Tuhan. Apa-apa boleh berlaku.

“Saya tumpang gembira apabila Faisal memaklumkan dia sudah kembali bersama bekas isterinya. Selama ini pun dia sangat mencintai isteri dan anaknya. Kita doakan semoga rumah tangga mereka kekal bahagia,” katanya memetik laporan Mstar.

Terdahulu, kelibat Faisal dan Syazwani bersama anak mereka terakam dalam video percutian di Pulau Pinang dimuat naik oleh pempengaruh yang juga kakak kepada pelakon, Anzalna Nasir iaitu Diana Nasir di media sosial.

Pada 28 November lalu, Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan dua lafaz cerai Faisal Halim pada 11 Jun dan 10 November lalu sebagai sah dan telah menjatuhkan talak terhadap isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

Faisal atau nama sebenarnya, Muhammad Faisal Abdul Halim dilaporkan telah melafazkan cerai buat kali pertama pada enam bulan lalu namun pasangan itu memutuskan untuk rujuk semula di hari yang sama.

Manakala untuk lafaz cerai kedua pula, pihak mahkamah mengarahkan agar Nur Syazwani selaku defendan untuk menjalani tempoh idah selama tiga kali suci sehingga 10 Januari depan.

Untuk rekod, pemain kebangsaan berusia 27 tahun itu mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 lalu dan dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.

Baca juga: Hantaran bekas isteri Faisal Halim curi perhatian, kongsi 7 ujian dilalui tahun ini