Keprihatinan pensyarah tolong jagakan anak sementara pelajar ambil ujian buat ramai tersentuh

Oleh KIM SYAZIE

Kisah seorang pelajar universiti yang hampir sahaja tidak dapat mengambil ujian kerana terpaksa menjaga anaknya yang masih kecil, menjadi perhatian warga maya.

Seorang pengguna Threads @amafuraadhuha memuat naik tangkap layar whatsApp perbualan antara seorang mahasiswa dengan pensyarahnya.

Dalam mesej itu, mahasiswa berkenaan memaklumkan kepada pensyarahnya bahawa dia tidak dapat datang ke kelas kerana isterinya sendiri perlu menghadiri kelas dari pagi sehingga ke malam.

Malah tiada siapa pada waktu itu boleh menjaga anaknya.

“Saya tidak dapat datang madam. Tidak ada yang mahu tolong menjaga anak. Isteri kelas pagi hingga malam esok”.

Namun mesej balas dari pensyarah tersebut membuatkan ramai terharu kerana menawarkan pertolongan untuk menjaga anak kepada pelajarnya sementara pelajar itu mengambil ujian.

“Bawa anak awak. Saya jaga,” balasnya ringkas.

Dalam perkongsian tular itu, individu tersebut juga memuat naik gambar si kecil yang sedang duduk diam sambil melayani kartun dalam tablet kecil.

Warga maya menyifatkan pelajar tersebut bertuah kerana mempunyai pensyarah yang memahami situasi, malah menganggapnya sebagai satu rezeki besar dalam perjalanan menuntut ilmu.

Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman berdepan pensyarah yang tiada empati dan terlalu bertegas sehinggakan masalah pelajar pun tidak mahu diendah.

Baca juga: Menangis tengok arwah ibu muncul di google maps