116 pelajar tinggal sehelai sepinggang, kerajaan salur bantuan RM500 seorang

Oleh MALAYSIADATELINE

Seramai 116 pelajar yang terjejas dalam kebakaran asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, Kulim menerima bantuan segera daripada kerajaan selepas ramai daripada mereka kehilangan pakaian, buku, kelengkapan pembelajaran dan dokumen pengenalan diri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai kebakaran yang berlaku pada Selasa bagi meninjau sendiri keadaan serta bertemu pelajar yang terkesan.

Menurutnya, perkara paling melegakan ialah kesemua 116 pelajar berada dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, semua 116 pelajar selamat. Itu yang paling melegakan. Namun, ramai kehilangan hampir segala-galanya.

“Pakaian, buku, kelengkapan belajar malah ada juga dokumen pengenalan diri yang tidak sempat diselamatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, setiap pelajar yang terjejas menerima bantuan tunai sebanyak RM500 menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Kedah.

Selain itu, pejabat beliau turut menyalurkan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi membantu memenuhi keperluan awal mangsa.

Dalam masa sama, Saifuddin berkata beliau telah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peruntukan segera sebanyak RM200,000 disalurkan bagi membina penempatan sementara untuk pelajar, sementara menunggu pembinaan asrama baharu selepas siasatan pihak bomba selesai.

Beliau turut memaklumkan terdapat pelajar yang kehilangan MyKad serta dokumen pengenalan diri dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan Van MEKAR ke sekolah terbabit bagi memudahkan urusan penggantian MyKad dan dokumen pengenalan diri yang hilang.

Saifuddin berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan kebajikan pelajar yang terjejas diberi perhatian agar mereka dapat kembali meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan selesa secepat mungkin.

Baca juga: Kerajaan Perpaduan Kekal Stabil – PM Anwar