Bossned dan Nadia Brian guna panggilan Baby-Sayang, semakin terbuka luah rasa cinta

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Nedim Nazri nampaknya kini semakin terbuka untuk meluahkan perasaan sayangnya terhadap pelakon iaitu Nadia Brian menerusi perkongsian di akaun media sosial miliknya.

Seperti hantaran dimuat naik di platform Instagram baru-baru ini, usahawan terbabit memaklumkan bahawa Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu merupakan insan istimewa dalam hidupnya.

Nedim dalam hantaran tersebut menulis kapsyen cukup romantis dengan memaklumkan bahawa pelakon berusia 35 tahun itu berjaya mengembalikan dirinya dahulu selain turut berkongsi gambar mereka berpegangan tangan.

“Mencintaimu terasa seperti pulang ke rumah, ke tempat yang aku tidak pernah tahu daku rindui,” katanya dalam ruangan kapsyen gambar dipercayai diambil di kawasan tasik tersebut.

Tidak lama kemudian, pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu meninggalkan komen manis dengan menggunakan panggilan manjanya terhadap usahawan yang lebih dikenali sebagai Bossned.

Tindakan tersebut memperlihatkan keseriusan hubungan mereka berdua malah semakin terbuka untuk meluahkan perasaan cinta masing-masing sekali gus menamatkan spekulasi orang ramai sebelum ini.

“Saya juga baby, cintakan awak,” ungkap Nadia Brian di ruangan komen sebelum kembali dibalas Nedim dengan menulis kata-kata romantis iaitu ‘Saya lebih mencintai awak, sayang’.

Hubungan mereka sebelum ini mula menjadi tumpuan ramai apabila Nedim yang juga merupakan bekas suami kepada pelakon, Nora Danish itu memuat naik gambar bersama Nadia Brian pada Disember lalu.

Sekadar info, Nedim pernah mendirikan rumah tangga dengan Nora Danish pada Mac 2017 lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia 7 tahun sebelum bercerai pada 19 Jun 2024.

Nedim juga memiliki seorang anak lelaki iaitu Mohamed Nedrin yang disapa sebagai Dre melalui perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita dikenali sebagai Nabilah Khan pada 2011 sebelum berpisah pada 2013.

Sementara itu, Nadia pula pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun perkahwinan tanpa dikurniakan anak tersebut disahkan berakhir pada April 2021. 

Baca juga: Restoran Ajak Shiro berjaya jual lebih 20,000 hidangan dalam sehari, cipta rekod luar biasa!