KDN Sasar Kutipan Hasil JIM Melebihi RM5 Bilion Pada 2026 – Saifuddin Nasution

Oleh BERNAMA

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan kutipan hasil Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melebihi RM5 bilion pada tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata JIM berjaya membuat kutipan hasil melebihi RM5.2 bilion pada 2025 iaitu antara yang tertinggi dalam kalangan agensi kerajaan dan setakat ini mencatatkan kutipan RM2.6 bilion bagi tempoh Jan hingga kini.

“JIM secara konsisten mengutip hasil sebanyak RM5 billion untuk tiga tahun berturut-turut.

“Potensi kutipan hasil meningkat itu juga kita telah nampak, misalnya sekarang kita mengumpul sehingga RM2.6 bilion dan saya kira menjelang hujung tahun kita akan dapat sekali lagi melepasi angka kutipan (tahun lepas),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Imigresen 2026 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’,di sini, hari ini, yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Selain itu Saifuddin Nasution berkata JIM juga telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara konsisten, profesional dan berintegriti, membuktikan ketegasannya dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Sepanjang 2025 dan Jun 2026, lebih 130,000 tangkapan telah dibuat membabitkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen, manakala lebih 92,000 warga asing berjaya dihantar pulang ke negara asal.

“Saya yakin dan percaya, JIM akan terus melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi dan semestinya kerajaan dan KSN akan terus memberi sokongan dalam perolehan aset strategik penguatkuasaan untuk membantu jabatan ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution turut mencadangkan penambahbaikan terhadap skim Perkhidmatan Penguasa Imigresen, penstrukturan jawatan strategik serta peluasan laluan kerjaya.

“Saya berpandangan bahawa usaha ini wajar diberikan perhatian yang sewajarnya demi memastikan institusi ini kekal relevan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
— BERNAMA

Baca juga: KWAP tetap catat untung, kes eFishery turut jerat pelabur terkemuka dunia – PM Anwar