Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terus melangkah ke hadapan meskipun perlu berdepan dengan pelbagai tomahan dan persepsi negatif masyarakat.
Beliau yang sudah 40 tahun bergiat aktif dalam gerakan mencegah rasuah itu juga bertegas tidak akan sesekali berganjak ataupun larut di dalam emosi apabila ditekan bertubi-tubi dengan tanggapan buruk.
Malah Azam juga mengakui masih boleh tidur dengan lena dan tidak mengalami sebarang masalah sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan ketika diterpa pelbagai isu khususnya melibatkan kes-kes rasuah berprofil tinggi.
Perkara itu diakui oleh penjawat berusia 62 tahun terbabit ketika menjadi tetamu di dalam program audio siar atau ‘podcast’ Borak Harini yang dikendalikan oleh wartawan Suzalina Halid dan Illah Hafiz.
Difahamkan, Azam berkata demikian ketika dilemparkan pertanyaan mengenai persepsi dan dakwaan orang ramai bahawa agensi pimpinannya dikatakan tidak bebas dalam melakukan penyiasatan kes rasuah, lapor Berita Harian.
“Saya boleh tidur malam peluk bini saya. Saya tak makan ubat pun. Saya buat kerja saya. Apa yang diberikan kuasa kepada saya dan tanggungjawab saya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Azam juga menyangkal dakwaan bahawa suruhanjaya itu tidak bebas malah fakta menunjukkan sebaliknya dengan penangkapan bekas pegawai kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azam memaklumkan bahawa pihaknya merasakan masyarakat hanya akan menganggap sesuatu tindakan itu betul atau sebaliknya sekiranya ia mengikuti kehendak mereka.
Namun secara hakikatnya, SPRM hanyalah menjalankan tugas dan mereka juga tidak bertanggungjawab untuk membuat kaji selidik berhubung persepsi masyarakat dalam tindakan pihaknya membongkar setiap kes rasuah.
“Apabila tanggungjawab diberi kepada saya dan pegawai, takkan saya hendak bertanya merata. Keputusan yang kita buat ini berdasarkan undang-undang. Berdasarkan panduan sedia ada dan juga tindakan yang kita fikir betul.
“Sebenarnya kami tidak boleh lari sangat daripada perhatian masyarakat. Itu norma sekarang. Jadi, boleh dikatakan SPRM ini memang jadi perhatian masyarakat sekarang,” jelasnya dalam perkongsian itu.
Dalam pada itu, Azam juga berpandangan bahawa isu kebebasan SPRM dalam menjalankan penyiasatan tidak seharusnya dipertikaikan kerana suruhanjaya itu dipantau secara terus oleh lima jawatankuasa.
Malah keputusan berhubung kes rasuah juga tidak dibuat oleh SPRM sebaliknya Jabatan Peguam Negara yang akan melakukan penilaian berdasarkan undang-undang serta hasil siasatan agensi antirasuah berkenaan.
“Kalau nak cakap soal kebebasan. Struktur (set up) yang ada sekarang ini menunjukkan kita sudah bebas. Dari segi penyiasatan dan sebagainya.” Ujarnya yang memberitahu bahawa SPRM kini memiliki sekitar 2,500 pegawai penyiasat.
Baca juga: Hari pertama sekolah tak hadir, ibu siap minta cikgu lantik anak jadi ketua kelas