Pempengaruh risau kena ‘mandrem’, jumpa barang pelik dalam simpanan pembantu rumah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh media sosial, Sasha Abdul Aziz yang juga merupakan usahawan berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini apabila memuat naik gambar memaparkan barangan pelik dijumpai dalam rumahnya.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads itu, pempengaruh terbabit mendakwa bahawa barangan pelik berkenaan adalah milik pembantu rumahnya yang merupakan pekerja warganegara asing.

Barangan termasuk buah atau herba kering, botol minyak bersama serpihan kayu serta bekas berisi kekacang atau benih itu dijumpai dalam beg pembantu rumah, di bilik anaknya serta di almari bilik.

Memandangkan kegunaan sebenar barangan itu tidak dapat dikenal pasti, pempengaruh terbabit bertindak memuat naik gambarnya di platform media sosial untuk bertanyakan pendapat orang ramai.

Pempengaruh terbabit turut meluahkan kebimbangan jika dirinya sudah menjadi mangsa ilmu hitam apabila menemui barangan berkenaan selain mengakui sudah memecat pembantu rumahnya.

“Kalau jumpa benda-benda macam ini dalam bilik anak dan almari, untuk apa ya? Pembantu rumah itu sudah dipecat. Minyak apa ini ya, jumpa dalam beg pembantu. Saya tertanya-tanya.

“Kalau dia minta kerja dengan anda semua, saya beritahu awal-awal. Sebab dia ini ada permit bekerja. Pakai benda ini untuk tundukkan majikan ke? Sudahlah tampar anak orang sesuka hati,” kesal pempengaruh itu.

Usahawan itu turut memuat naik gambar dipercayai kad pengenalan milik orang gaji tersebut yang memaparkan gambar serta nama penuhnya sebagai langkah berjaga-jaga buat majikan lain.

Sasha sebelum ini pernah mendakwa bahawa pembantu rumah terbabit pernah menampar anak sulungnya yang dikenali sebagai Isabella dengan memuat naik rakaman memaparkan pengakuan kanak-kanak itu.

Baca juga: Enam bulan setelah pemergian isteri, warga emas ditemui meninggal dunia sendirian di rumah