Siapa sangka, pelakon dan pengacara popular iaitu Uyaina Arshad yang bakal menimang cahaya mata ketiga pernah dimaklumkan bahawa dirinya mungkin memiliki peluang tipis untuk dikurniakan anak.
Perkara itu disampaikan kepada Uyaina oleh doktor yang menjelaskan salah satu risiko pengambilan ubat diberikan kepada pelakon terbabit bagi merawat masalah kesihatan serius berkaitan jantung dihidapinya.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pengacara terbabit mengakui mula disahkan menghidap masalah jantung iaitu Supraventricular Tachycardia (SVT) dan Quadricuspid Aortic Valve (QAV) pada 2019.
Apabila dipertemukan dengan suami iaitu Raja Syahiran yang ketika itu teman lelakinya, Uyaina mengambil keputusan untuk berterus terang sejak awal mengenai masalah mungkin dihadapi mereka selepas berkahwin.
“Masalah SVT membuatkan jantung saya berdegup lebih laju. Kadar denyutan jantung rehat normal untuk orang biasa adalah sekitar 60-100 bpm (denyutan seminit). Saya punya pula hampir 200 bpm pada masa itu! Gila!
“Sementara itu, QAO adalah kongenital. Bermakna saya dilahirkan dengan masalah itu. Orang biasa memiliki tiga ‘leaflets’ (daun katup), saya pula ada empat. Jadi berlaku pergeseran dalam jantung.
“Masalah ini menyebabkan aliran darah saya tak berapa cantik. Pada usia 27 tahun, saya sudah tentu sangat sedih. Sebab sudah ada masalah jantung pada usia muda,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu bagaimanapun terkejut apabila Raja Syahiran menerima dengan sangat baik malah tersenyum ketika menyatakan kesediaannya untuk meneruskan hubungan mereka.
Pasangan itu kemudian mendirikan rumah tangga pada tahun 2021 sebelum Uyaina dan suami kembali dikejutkan apabila disahkan hamil malah selamat melahirkan cahaya mata pertama pada 2022.
“Allah Maha Besar. Kalau Dia kata, ‘Kun FayaKun’. Jadilah, maka jadilah ia. Sekarang saya sedang hamil anak ketiga. MashaAllah. Saya mungkin tak faham apakah yang dilalui oleh pasangan TTC (trying-to-concieve).
“Tetapi doa dan ingatan Uyaina buat semua yang sedang menanti kehadiran zuriat, semoga akan dikurniakan zuriat indah pada waktunya. Teruskan usaha, berdoa dan bertawakal. Allah Maha Baik, Maha Mendengar.
“Semoga tahun 2026 ini membawa banyak berita baik dan gembira buat kita semua. Amin, Ya Allah. Saya baru sahaja menjalani pemeriksaan jantung dan semuanya baik, Alhamdulillah. Bersedia untuk bayi ketiga!.” Ujarnya.
Baca juga: Disyaki didera pengasuh, bayi tiga bulan patah tulang paha