Disyaki didera pengasuh, bayi tiga bulan patah tulang paha

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun pelbagai kes penderaan melibatkan pengasuh telah dilaporkan dan mendapat perhatian umum.

Masih wujud individu yang tergamak melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak yang terlalu kecil dan lemah untuk mempertahankan diri.

Terbaharu, tangisan bayi lelaki berusia tiga bulan yang tidak berhenti akhirnya mendedahkan kes pengabaian oleh pengasuh.

Menurut Kosmo! Online, kejadian tersebut berlaku di di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2.38 petang, 9 Januari lalu.

Jelasnya, mangsa mengalami bengkak pada paha kiri sebaik dibawa pulang dari rumah pengasuh.

Ibu bapa mangsa membuat keputusan untuk membawa anak mereka ke hospital selepas mangsa menangis tanpa henti.

“Laporan polis dibuat oleh doktor berusia 27 tahun selepas bayi tersebut dirujuk ke Hospital Ampang. Mangsa mengalami patah tulang paha kiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Baca juga: Disyaki terima rasuah RM150,000, 4 pegawai, seorang anggota dan pesara polis direman