Khairul Aming sentuh isu keberkatan, pesan jangan guna unsur menipu dalam ‘review’

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan dan pempengaruh popular, Khairul Aming tampil menyampaikan pesanan khusus kepada mereka yang beragama Islam mengenai penghasilan kandungan terutamanya berkaitan ulasan produk dan makanan.

Khairul Aming berpendapat bahawa pempengaruh media sosial atau individu yang bekerja di dalam bidang ‘affiliate’ memiliki tanggungjawab berhubung kandungan dihasilkan terutamanya berunsur promosi.

Mereka tidak sepatutnya menggunakan sebarang unsur penipuan dalam mempromosikan sesuatu produk atau mengulas makanan kerana itulah sumber rezeki mereka dan dikhuatiri hasil yang diperoleh kelak tidak berkat.

“Saya sentuh terutamanya untuk mereka yang Muslim. Berbalik kepada bagaimanana anda ‘claim’. Contoh awak kata pakai pelembap muka jenama ini setiap hari. Tetapi tak pakai pun sebenarnya. Di situ awak sudah menipu.

“Saya tak nak sentuh tentang hukum hakam. Tetapi pada saya, tidak berkatlah duit yang kita dapat daripada ‘claim’ seperti itu. Nombor dua pula tentang makanan. Cakap sedapnya, beri markah 10 per 10.

“Tetapi apabila makan, anda sendiri rasa yang tak sedap sebenarnya. Hati-hati dengan apa yang anda claim. Kalau tak sedap jangan cakap sedap. Kalau produk itu awak tak pakai, jangan cakap awak pakai,” pesan Khairul Aming.

@saifulnizam7669

Carilah keberkatan.. Ini pesan @Khairulaming kepada affiliate dan content creators.

♬ original sound – Sayf el Nizam – Sayf el Nizam

Difahamkan, pesanan itu disampaikan oleh Khairul Aming dalam satu program ‘Jom Buat Duit Raya’ yang dianjurkan platform jualan dalam talian iaitu Tik Tok Shop di mana usahawan terbabit dijemput untuk berkongsi ilmu.

Pesanan Khairul Aming itu juga berkait rapat dengan isu membina kepercayaan orang ramai sebagai salah satu usaha untuk bertahan lama dalam bidang penghasilan kandungan ataupun pemasaran digital buat ‘affiliate’.

“Bagi saya, semua ini tentang integriti dan keberkatan dari pendapatan yang kita terima. Itulah yang membezakan kita dengan orang lain. Sejauh mana kita nak pergi dalam bidang ini.

“Kalau pakai kaedah (menipu) itu, saya tak akan berada di tempat sekarang. Orang tak akan percayakan saya. Saya ingatkan, nak mendapatkan kepercayaan memang susah. Tetapi apabila sudah dapat, jual apa sahaja akan laku.” Ujarnya.

Perkongsian dibuat Khairul Aming ini dipercayai dirakam oleh para hadirin dalam program Tik Tok Shop sebelum dimuat naik semula di akaun TikTok milik pengguna yang dikenali sebagai Saiful Nizam.

Baca juga: Khaby Lame bilionair baharu, jual pegangan utama dalam syarikat pada harga AS$900 juta