Kerajaan telah memperkenalkan strategi RESET bagi menangani inflasi kos penjagaan kesihatan swasta dalam jangka panjang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata ia merangkumi pelaksanaan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas atau MediAsas yang akan memulakan program rintis menjelang akhir bulan ini.
Beliau berkata program rintis berkenaan ialah langkah persediaan sebelum pelan itu dilancarkan sepenuhnya pada peringkat nasional pada Jan 2027.
“MediAsas bertujuan menyediakan perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan untuk jangka panjang kepada rakyat. Ini membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan penjagaan kesihatan swasta,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan garis masa pengenalan peraturan bagi memastikan syarikat insurans mengawal atau menurunkan premium insurans kesihatan yang membebankan rakyat.
Mengulas punca kenaikan premium, Liew berkata lonjakan kos premium MHIT pada 2024 disebabkan oleh peningkatan tuntutan yang mendadak selepas COVID-19, serta penangguhan pelarasan semula kadar premium oleh pengendali insurans dan takaful (ITO) sepanjang tempoh pandemik.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai amalan syarikat insurans menutup portfolio lama, yang didakwa mendiskriminasikan golongan warga emas, Liew berkata perkara itu berada dalam tindakan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jelasnya, isu berkenaan telah dikesan dan berada dalam perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata BNM akan memperkenalkan polisi tiada semakan rekod lampau menerusi pelan MediAsas bagi memastikan pasaran insurans yang lebih adil.
“Menerusi polisi ‘no look-back’ ini, ia dapat memastikan mereka yang sampai satu umur, walaupun mempunyai penyakit baharu, perlindungan mereka tidak akan ditiadakan dan mereka boleh menyambung serta mendapat tuntutan,” katanya. — BERNAMA
Baca juga: PM Anwar kongsi strategi kerajaan hadapi krisis bekalan, agenda peralihan tenaga terus dilaksana