Pakai tudung tapi baju ketat melekat? Ustazah Asma’ tegur iklan fesyen baju raya

Oleh MAISARAH AISYA

Menjelang bulan Ramadan, banyak jenama pakaian mula mengeluarkan teaser baju raya keluaran mereka, dan rekaan kebanyakan baju dilihat terlalu melekat pada badan model.

Pendakwah Ustazah Asma’ Harun menekankan pentingnya wanita muslimah menjaga aurat dan berpakaian sopan.

Apatah lagi buat mereka yang mempromosikan baju raya di media sosial.

Dalam hantaran di Facebook, Asma’ menegaskan bahawa walaupun sesetengah wanita memakai tudung, baju yang ketat dan melekat badan boleh membawa lebih berat fitnah berbanding sepatutnya.

Menurutnya, ia lebih berat daripada wanita yang tidak bertudung tetapi mengenakan pakaian sopan dan longgar, kerana penampilan sedemikian lebih menepati prinsip kesopanan dalam Islam.

“Dah hampir separuh Syaaban, makin dekat Ramadan… makin banyak pula aksi wanita muslimah dengan iklan baju raya yang sendat.

“Pakai tudung tapi baju ketat melekat lebih berat fitnah berbanding tak bertudung tapi baju sopan longgar,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Tegas Asma dia bukan mahu memuji mereka yang tidak bertudung sebaliknya mengingatkan tentang fitnah yang boleh timbul buat mereka yang bertudung.

“Ada ramai wanita yang tak bertudung tapi tidak seksi, sopan dan longgar seperti kebanyakan non-muslim.

“Sebaliknya, ramai yang bertudung tetapi pakaian ketat dan seksi yang lebih mengoda hawa nafsu.

“Fahami bahawa saya bukan memuji wanita tidak bertudung, namun wanita yang menampakkan bentuk badan terutama bahagian atas depan dan bawah belakang jauh lebih besar fitnahnya… seperti hadis dituliskan di bawah.

“Kita doakan semua wanita muslim makin menutup aurat dengan sempurna,” tegurnya.

Asma’ juga merujuk kepada sebuah hadis Rasullah S.A.W sebagai peringatan buat umat Islam berkaitan golongan wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya seperti telanjang.

“Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah aku lihat: Pertama, kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya. Kedua, wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yang menyimpang dan menyesatkan, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim, Hadis Sahih).

Baca juga: Polis jumpa gumpalan tisu ada cecair, tahan 2 lelaki berkelakuan tak senonoh dalam kereta