Seorang lelaki berkongsi kisah menyentuh hati mengenai pengalaman zaman kanak-kanaknya ketika menghadiri jamuan Hari Raya di sekolah, yang masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
Menerusi perkongsian di Threads oleh Ashraf Naim (@sirasyraf), dia menceritakan bagaimana dirinya yang ketika itu berada di darjah dua membesar dalam keluarga serba kekurangan.
Bapanya bekerja sebagai penoreh getah berpendapatan sekitar RM600 sebulan, manakala ibunya pula suri rumah.
Menurutnya, dia hanya memaklumkan kepada ibunya mengenai jamuan raya sekolah pada saat akhir, sebelum ibunya menyediakan bekal untuk dibawa ke sekolah.
“Mak aku bekalkan ikan busuk. Aku hanya perasan bila dah sampai sekolah. Mengalir air mata aku sebab mak aku bagi ikan yang dah busuk.
“Aku tak jadi letak bekal aku dekat tempat kumpul bekal. Aku pegang sendiri. Masa makan, aku tak makan pun.
“Aku malu dan rasa tak layak nak makan sebab aku tak ada apa yang boleh aku kongsi dekat orang,” katanya.
Tambahnya, cikgu kelas kemudian menyedari dia tidak makan dan bertanya mengenai perkara tersebut.
“Cikgu kelas aku perasan aku tak makan dan tanya kenapa aku tak makan. Aku bagitahu yang aku tak bawa apa-apa jadi aku tak layak makan makanan orang lain.
“Tapi cikgu tanya apa bekal yang aku pegang tu? Aku cakap yang mak tersalah bekal, mak bagi ikan busuk,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, situasi itu berubah apabila cikgu berkenaan membuka bekalnya dan mendapati makanan tersebut sebenarnya adalah ikan pekasam.
“Cikgu pun minta bekal aku tu. Aku keberatan juga sebab malu, tapi bila cikgu buka, rupanya ikan pekasam.
“Cikgu siap beritahu cikgu lain. Murid makan kuih raya, tapi cikgu makan nasi dengan ikan pekasam tu.
“Sekejap je bekal aku habis. Cikgu cakap, ‘bekal awak paling sedap, pergi makan kuih-kuih tu’. Masa tu aku rasa sangat gembira,” katanya.
Mengimbas kembali kenangan tersebut, dia menyifatkan pengalaman itu sebagai antara kisah jamuan raya paling bermakna dalam hidupnya.
“Kesimpulannya, walaupun kita tak mampu, sedekahkan makanan ikut kemampuan diri, yang penting ikhlas. InsyaAllah akan ada yang menghargai keikhlasan kita,” katanya.
Baca juga: Ramai dah beli baru, rupanya beg biru IKEA rosak boleh tukar percuma je