Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang berhadapan cabaran dinamika politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus menguji keutuhan Kerajaan Perpaduan.
Situasi ini sudah tentunya menimbulkan kebimbangan kerana kestabilan politik adalah asas teras yang sangat penting untuk mengekalkan kesejahteraan negara ketika dunia sedang berdepan krisis tenaga dan rantaian bekalan.
Berikut kami senaraikan cabaran politik yang perlu ditempuhi pemimpin nombor satu negara itu demi menjaga kelangsungan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sehingga ke penggal seterusnya.
Mengemudi gabungan Kerajaan Perpaduan
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membentuk kerajaan stabil dengan menyatukan gabungan parti politik utama bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan dengan itu, beliau perlu mengemudi gabungan melibatkan bekas ‘musuh politik’ tradisi sambil mengimbangi tuntutan pelbagai parti dan menjaga prestasi ekonomi serta menangani tekanan kos sara hidup rakyat.
Perpisahan dengan Sekutu Politik
Peletakan jawatan Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli merangkap Bekas Timbalan Presiden PKR itu membawa perubahan sangat besar kepada landskap politik negara.
Mana tidaknya, Rafizi dikenali sebagai sekutu rapat Anwar malah merupakan antara sosok penting dalam perjuangan parti PKR pimpinan beliau sejak awal penubuhan sehingga berjaya membentuk kerajaan.
Situasi tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan parti memandangkan Rafizi adalah pakar strategi utama politik dan data PKR yang dahulunya memainkan peranan penting dalam kejayaan gabungan PH.
Ketegangan dengan parti gabungan
Status ‘hubungan’ politik dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan dilaporkan tegang susulan keputusan UMNO untuk bergerak solo dan bertanding di semua kerusi dalam PRN Johor.
Pengumuman itu mencetuskan pendirian Anwar yang mempertimbangkan untuk membubarkan Parlimen lebih awal bagi memulangkan mandat kepada rakyat jika kestabilan kerajaan terus digugat.
Beliau bagaimanapun menegaskan keutamaan kerajaan buat masa ini untuk melaksanakan tugas pentadbiran negara dalam mendepani krisis global demi kesejahteraan rakyat berbanding keperluan membubarkan Parlimen.
Krisis takhta Negeri Sembilan
Konflik tercetus susulan pertembungan kuasa antara struktur perlembagaan Negeri Sembilan melibatkan institusi Undang dengan pentadbiran kerajaan negeri juga telah mengakibatkan ketidaktentuan politik di Malaysia.
Jentera parti juga perlu diperkukuhkan untuk menghadapi PRN susulan pembubaran DUN Negeri Sembilan sementara konflik melibatkan Undang dan istana juga harus diselesaikan agar kestabilan kerajaan negeri kekal stabil.
Baca juga: “Ingat datang kemas rumah…” – Wanita terkejut jumpa dompet ibu dalam beg pekerja