Tular di media sosial dakwaan seorang pengantin wanita kehilangan wang mas kahwin selepas majlis akad nikahnya, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi beberapa hantaran di Threads dan TikTok, wanita dikenali sebagai Alya mendakwa wang mas kahwin yang disimpan dalam sampul putih hilang ketika majlis berlangsung sebelum kembali dipulangkan hampir 10 hari kemudian.
Menurutnya, individu yang didakwa mengambil wang berkenaan difahamkan bekerja sebagai bride assistant ketika majlis akad nikah tersebut berlangsung.
“Duit mas kahwin dalam envelope putih tu, nasib baik ada bukti.
“Selepas hampir 10 hari baru dia payment balik kat saya. Itu pun lepas kena gertak dengan husband saya nak report polis,” tulisnya.
Alya turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan dipercayai dengan individu terlibat yang memohon maaf selain mendakwa mahu memulangkan semula wang tersebut secara ansuran.
Dalam satu lagi hantaran, wanita itu berkata dia pada awalnya bercadang membuat laporan polis selepas turut mendakwa cincin miliknya hilang pada hari sama.
“Saya hilang cincin masa wedding. Saya tak ada bukti siapa yang ambil. Tapi saya memang syak individu sama ambil sebab duit mas kahwin pun hilang pada hari yang sama,” katanya.
Menerusi video yang dikongsikan, Alya turut menunjukkan detik seorang individu mengambil sampul dipercayai berisi wang mas kahwin sebelum ia didakwa digantikan dengan sampul lain.
“Bila habis majlis, semua orang bangun.
“Tok kadi mungkin terlupa nak pass dekat tangan abah saya sebab kedudukan duit mas kahwin tu berada di tengah-tengah di dalam envelope putih,” tulisnya pada video tersebut.
Bagaimanapun, Alya berkata perkara itu sudah diselesaikan secara baik dan berharap insiden sama tidak berulang kepada pasangan lain.
“Korang nanti nikah, ingat-ingat sesama ahli keluarga ye. Dalam sibuk-sibuk tu mungkin kita akan ada terlepas pandang benda,” katanya lagi.
Baca juga: Rakyat perlu dihormati! PM Anwar harap budaya beratur terima bantuan dihentikan