Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan budaya lama yang merendahkan maruah rakyat termasuk memaksa mereka beratur panjang untuk mendapatkan bantuan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu turut menekankan komitmen Kerajaan Madani untuk menghapuskan budaya kuno sedemikian dalam pengagihan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, amalan yang seakan-akan tidak menghormati rakyat itu seharusnya dihentikan kerana wujudnya pelbagai alternatif lain untuk menyampaikan bantuan dalam era digital pada masa kini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata sedemikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Johor di Batu Pahat, malam semalam..
“Sekarang tahun 2026 tetapi masih perlu beratur, saya pun tidak setuju. Kita beri beribu-ribu kepada rakyat, naikkan gaji pegawai kerajaan. Namun tiada yang terpaksa beratur.
“Bukan tidak boleh beratur, tetapi kerana RM200 rakyat terpaksa (beratur). Saya nak tanya mengapa buat begitu. Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan anak sekolah semua masuk akaun, tiada yang beratur.
“Ini menunjukkan cara kita berfikir, sama ada hormat atau tidak kepada rakyat. Jangan anggap rakyat itu hamba. Rakyat juga ada hak, kebebasan dan semangat kemerdekaan,” katanya dalam ucapan itu.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Madani sebaliknya lebih mengutamakan kaedah penyaluran terus termasuk ke dalam kad pengenalan atau akaun bank agar kebajikan rakyat terjaga dengan penuh rasa hormat.
Difahamkan, kenyataan itu bertujuan mengulas tindakan kerajaan negeri Johor yang meminta rakyatnya beratur berjam-jam hanya untuk mendapatkan bantuan tunai di kaunter.
Baca juga: ‘Kantoi’ tak pulang jaket sahabat puluhan tahun, PMX imbau kisah lama zaman mahasiswa