PM Anwar tolak cadangan hutang, mampu tampung subsidi minyak RM30 bilion melalui langkah ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju untuk mengambil langkah menaikkan harga minyak sebagai jalan penyelesaian ketika negara kini menghadapi cabaran kesan daripada krisis bekalan global.

Kerajaan sebaliknya akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api yang mencecah RM30 bilion itu dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan agar rakyat tidak merasa terbeban.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa kos tersebut setakat ini masih mampu ditampung kerajaan melalui inisiatif penjimatan perbelanjaan selain menghentikan ketirisan dana negara, lapor Utusan Malaysia.

Perkara itu disampaikan oleh pemimpin nombor satu negara itu ketika berucap dalam majlis pelancaran Program Himpunan Rakan Muda Madani di Padang Awam Taman Keladi, Sungai Petani, semalam.

“Berapa satu bulan kita tampung? Bukan dalam peruntukan yang lama, tetapi ketika harga minyak naik kita bayar RM5 bilion sebulan, RM3 bilion sebulan pun ada.

“Kemudian naik sampai RM7 bilion sebulan, sekarang turun balik RM4 bilion, RM5 bilion sebulan tambahan,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan itu memetik laporan Utusan Malaysia.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan subsidi bulanan sebanyak RM3 bilion dalam tempoh 10 bulan menjadikan jumlahnya mencecah RM30 bilion.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan pihak tertentu agar kerajaan membuat pinjaman ataupun berhutang bagi membolehkan kos subsidi minyak boleh terus ditampung.

“Kalau suruh hutang, saya boleh hutang sekarang. Selepas itu saya tinggalkan kerajaan, anak-anak yang harus bayar. Sebab itu jalan keluarnya bukan hutang mudah, jadi kita lakukan apa yang kita mampu.” Ujarnya.

Presiden PKR itu juga menekankan bahawa harga minyak di negara ini, khususnya bagi petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter kekal sebagai antara kadar terendah di dunia.

Baca juga: Gaji wakil rakyat di Indonesia 27 kali ganda lebih besar dari gaji minimum rakyat mereka