Selepas 14 hari hilang di kawasan Gunung Batu Putih, wanita dikenali sebagai Jaslinda Saludin akhirnya ditemui selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh.
Namun pengalaman yang dilaluinya sepanjang berada di dalam hutan mengundang pelbagai persoalan.
Memetik laporan Harian Metro, wanita berusia 49 tahun itu dikatakan mendengar bunyi wisel serta suara individu memanggil namanya sepanjang tempoh sesat, seolah-olah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berada berhampiran dengannya.
Bagaimanapun, setiap kali cuba mencari arah bunyi tersebut, dia mendakwa tidak menemui sesiapa di sekelilingnya.
Perkara itu dikongsikan Jaslinda kepada Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah, selepas dia diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan mahu memancing di kawasan sungai berhampiran.
“Tetapi katanya apabila dia amati, dia dapati orang tak ada. Dia kata memang ada dengar bunyi macam bunyi wisel dan lain-lain, cuma dia cakap tak nampak orang.
“Walaupun dia rasa macam ramai orang ada di sekeliling itu,” kata Mohd Asmadi.
Jaslinda ditemui oleh dua penduduk kampung, Nazri Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, dalam keadaan lemah selepas hampir dua minggu hilang sejak 24 Mei lalu.
Menurut Mohd Asmadi, wanita itu kemudian dibawa ke rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi penemuan sebelum diberikan bantuan awal serta makanan.
Antara makanan yang diberikan termasuk mi segera, nasi berlauk ayam, ikan tenggiri, sambal petai dan kopi.
Sementara itu, Nazri berkata, ketika ditemui Jaslinda masih membawa beg sandang berisi daun asam batu serta beberapa cendawan dipercayai beracun.
Katanya, wanita itu turut menyimpan dua botol air yang kelihatan kotor dan dipercayai diambil daripada tumbuhan periuk kera untuk diminum sepanjang berada di hutan.
“Daun asam batu memang boleh dimakan, tetapi cendawan itu tidak boleh. Nasib baik dia tak makan lagi kerana ia beracun,” katanya.
Baca juga: Ramai sokong cadangan Imran Bard supaya MP, ADUN perlu ada kelayakan Degree