Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mesti terus berpaksikan prinsip masyarakat majmuk serta menolak sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum.
Memetik laporan Berita Harian, Anwar berkata kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi asas pembentukan negara tidak boleh dipertikaikan walaupun landskap politik sering diwarnai perbezaan pandangan serta persaingan parti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.
Menurut beliau, semua pihak perlu menghormati pilihan rakyat dalam sistem demokrasi dan tidak bersikap angkuh sehingga menafikan hak mana-mana kaum atau parti politik.
“Dalam sistem dan amalan demokrasi, kita mesti menghormati pilihan rakyat dan itu agak angkuh atau sombong untuk kita dalam membuat keputusan, menafikan hak mana-mana kaum atau parti yang mungkin bertanding dan bersama dalam pilihan raya,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu, Anwar sempat berseloroh apabila melihat Fahmi duduk bersebelahan Teo Nie Ching dipercayai merujuk isu ‘duduk semeja’ yang dimainkan sesetengah pihak menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.
“Teo Nie Ching duduk sebelah (Fahmi), boleh ke? Nanti jadi isu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata prinsip menghormati kepelbagaian bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah selari dengan ajaran Islam yang mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan bangsa.
“Kita tidak pilih untuk jadi Melayu, Cina atau India. Kita tidak pilih warna kulit kita.
“Yang membezakan manusia bukan keturunannya, kekayaannya, pangkat dan darjatnya, suku kaum atau warna kulitnya, tetapi nilai kebaikan dan ketakwaannya,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengamalkan budaya perbahasan yang lebih berhemah selain menjadikan nilai hormat-menghormati sebagai asas dalam komunikasi dan wacana politik negara.
“Sebab itu dalam negara MADANI ini kita tekankan soal nilai. Kita tak nak orang benci dengan kaum,” katanya.
Baca juga: PM Anwar tolak cadangan hutang, mampu tampung subsidi minyak RM30 bilion melalui langkah ini