Dah masuk pertengahan tahun ringgit masih lagi kekal mata wang prestasi terbaik di Asia

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ringgit kekal menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini, dipacu aliran masuk pelaburan yang besar serta kekukuhan asas ekonomi Malaysia walaupun menghadapi ketidaktentuan global yang meningkat.

Menurutnya, ringgit terus mencatatkan kenaikan yang positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini bagi 2026 dan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding beberapa mata wang serantau.

“Ringgit masih menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Setakat ini bagi tahun ini, ringgit kekal mencatatkan peningkatan positif berbanding dolar AS.

“Lebih penting bagi ringgit bukan hanya prestasinya berbanding dolar AS malah pergerakannya berbanding mata wang lain di dunia.

“Kita jauh lebih baik daripada banyak negara lain di seluruh dunia,” katanya.

Amir Hamzah berkata demikian pada sesi bertajuk ‘Mengimbangi Fokus Fiskal dengan Risiko Luaran’ di Invest Malaysia 2026, semalam.

Kekuatan ringgit disokong oleh keyakinan pelabur yang berterusan terhadap ekonomi Malaysia, dicerminkan melalui aktiviti pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang kukuh.

Malaysia juga telah mencapai rekod paras tertinggi dari segi pelaburan diluluskan yang masuk.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengeluarkan angka bagi suku pertama semalam, dan kita berada di landasan untuk melaksanakannya.

“Enjin FDI berfungsi dengan sangat baik dalam menarik pelaburan dan menyediakan sokongan kepada ringgit bagi tempoh yang seterusnya,” kata beliau.

Menyentuh mengenai pelaburan domestik, Amir Hamzah berkata, ia juga kekal kukuh, dengan DDI mengatasi sedikit FDI dari segi jumlah pelaburan di negara ini.

“Sebenarnya, DDI adalah lebih besar sedikit berbanding FDI.

“Jadi, sebenarnya, seperti anda, pelabur dalam negara, juga menggandakan pertumbuhan kerana mengenal pasti segmen yang ingin dikembangkan,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan semakin seiring dengan keutamaan kerajaan dalam sektor pertumbuhan tinggi.

Ini termasuk semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI), seterusnya membantu mengukuhkan permintaan terhadap mata wang tempatan.

“Selagi enjin-enjin ini terus bergerak, asas ekonomi masih memberikan sokongan permintaan kepada ringgit,” katanya.

Walaupun perkembangan luaran masih boleh mewujudkan keadaan turun naik ketara dalam pasaran mata wang, Amir Hamzah berkata, fokus Malaysia kekal kepada usaha untuk memperkukuh asas ekonomi.

Baca juga: Fokus tarik pelaburan berkualiti, PM Anwar bertemu 6 syarikat peneraju industri di Jepun