Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal komited dalam mempertahankan muafakat bersama rakan gabungan di tengah ketegangan politik di Malaysia sejak akhir-akhir ini.
Pentadbiran di peringkat Persekutuan juga terus menerima sokongan daripada parti-parti yang membentuk gabungan tersebut sekali gus menafikan dakwaan wujudnya perpecahan dalam kepimpinan kerajaan.
Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menekankan bahawa pendekatan politik diamalkan oleh gabungan berkenaan adalah dengan mengadakan rundingan dan kerjasama melibatkan semua parti, lapor Berita RTM.
Kerajaan Perpaduan terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 lalu yang terdiri daripada gabungan PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.
“Tak ada lagi ura-ura pun. Dalam politik ini, soal cerai, talak, kahwin bukan cara kita. Kita runding dengan baik, bincang dengan baik, kerjasama dengan baik,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan memetik laporan tersebut.
Beliau yang juga Presiden PKR itu berkata sedemikian ketika diminta mengulas tentang kemungkinan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam PH susulan pemberhentian kerjasama mereka bersama PAS.
Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak akan mengambil sebarang langkah atau mengadakan perbincangan terkait tindakan yang boleh dianggap mengkhianati rakan-rakan politik dalam gabungan kerajaan.
“Saya tidak mahu terbabit dalam apa-apa langkah atau bincang soal PH mengkhianati sahabat (gabungan).” Tegas pemimpin nombor satu negara yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun itu.
Pemimpin itu bagaimanapun tidak menafikan terdapatnya perbezaan pendapat antara rakan gabungan di peringkat negeri namun menyerahkan keputusan politik mereka kepada urusan pimpinan negeri masing-masing.
Sebaliknya fokus utama pentadbiran kerajaan ketika ini adalah melaksanakan semua agenda pembangunan negara termasuk di peringkat antarabangsa dan terus berusaha memperkukuh kerjasama ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Baca juga: Dah masuk pertengahan tahun ringgit masih lagi kekal mata wang prestasi terbaik di Asia