Agong perkenan tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ Isa Samad

Oleh MALAYSIADATELINE

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menarik balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas Pengerusi Felda, Datuk Mohd Isa Abdul Samad, berkuat kuasa 8 Jun lalu.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penarikan balik darjah kebesaran itu dibuat susulan Mohd Isa disabitkan kesalahan dan kini sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

“Penarikan balik ini adalah bersangkutan dengan beliau telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut JPM, tindakan tersebut selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang memperuntukkan bahawa darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerima disabitkan dengan sesuatu kesalahan.

“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat susulan titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara.

Pada Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa membabitkan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.

Baca juga: Anwar enggan terbabit dalam ‘langkah’ khianat sahabat, Kerajaan Perpaduan kekal utuh