“Kalau sikit boleh simpan” – Pekerja jumpa barang kemas masa kemas kedai, siap ada tulis 916!

Oleh MALAYSIADATELINE

Setiap pekerjaan pasti hadir dengan rezeki tersendiri, begitu juga buat beberapa pekerja pembersihan yang tidak menyangka menemui sejumlah emas ketika melakukan kerja mengemas sebuah kedai emas.

Menerusi perkongsian tular di media sosial, pemilik kedai difahamkan membenarkan kedua-dua pekerja tersebut mengambil emas yang dijumpai selepas proses pembersihan dilakukan.

Menurut pemilik kedai, emas yang ditemui itu sudah dihalalkan untuk mereka ambil sebagai tanda penghargaan atas usaha dan penat lelah membersihkan premis berkenaan.

“Malam ni kita dapat kerja untuk keluarkan barang-barang lama dari kedai Emas Sri Ani ni.

“Owner dah cakap kalau ada jumpa ‘harta karun’, kira rezeki lah,” katanya dalam video berkenaan.

Menurut individu tersebut, masih banyak barangan di dalam premis itu yang belum diselongkar dan mereka meneruskan pencarian sebelum menemui lebih banyak barangan dipercayai emas.

“Haa, ni ada jumpa satu. Rezeki. Itu dia! Alhamdulillah, rezeki! Cangkuk emas semua ni,” ujarnya.

View on Threads

Bagaimanapun, mereka mengakui tidak mahu mengambil keputusan sendiri kerana jumlah barang kemas yang ditemui agak banyak.

“Kalau setakat seketul dua tu mungkin boleh simpan, tapi bila dah banyak macam ni memang kena tanya owner dulu,” katanya lagi.

Menurutnya, pemilik premis terbabit dikatakan memberi keizinan kepada mereka untuk menyimpan barang yang ditemui sebagai sedekah.

“Owner baik hati, dia cakap dah sedekah,” katanya.

Malah, individu tersebut turut menunjukkan cop ‘916’ pada beberapa barang kemas dipercayai emas tulen yang ditemui di dalam premis berkenaan.

“Tengok cik, ni banyak gram ni. Pening tokeh (tuan kedai) nanti ni, besar-besar pula. Ada cop 916… memang ada.

“Semoga murah rezeki tuan kedai,” katanya lagi.

Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi netizen dengan ramai menyifatkan penemuan tersebut sebagai rezeki tidak disangka-sangka.

Baca juga: 100 hari harungi konflik Asia Barat: Ini usaha Kerajaan Madani jaga kesejahteraan rakyat