“Kita memang mahu kekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang” – Tuan Ibrahim

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan menjadi antara Ketua Pembangkang paling singkat dalam sejarah politik negara sebelum kedudukan itu kembali memihak kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tampil menjelaskan sebab Hamzah terus dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang meskipun beliau sebelum ini dipecat daripada parti berkenaan.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi Hamzah selain mendapat sokongan ramai Ahli Parlimen dalam blok pembangkang lapor Malaysia Gazette.

“Sebenarnya daripada awal lagi kita memang mahu mengekalkan Hamzah sebab prestasi beliau dan ramai dalam Parlimen yang bersama beliau.

“Sebab itu bila dia tubuh parti (Parti Wawasan Negara) dan bersama dengan kita, kita fikir kita teruskan mengekalkan dia,” katanya dalam temubual bersama Malaysia Gazette.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu utama sebelum ini hanyalah rasa kurang selesa daripada pihak Bersatu selepas Hamzah dipecat daripada parti berkenaan.

Namun menurutnya, selepas Hamzah menubuhkan parti baharu dan bergerak bersama gabungan mereka, perkara itu tidak lagi mempunyai kaitan dengan Bersatu.

“Disebabkan dia tubuh parti baharu dan bersama dengan kita, jadi kita kekalkan dia semula,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim turut menyentuh mengenai persiapan calon di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, setakat ini parti masih belum menerima senarai rasmi calon yang akan bertanding.

Katanya, proses biasa akan dilakukan apabila senarai diterima sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk diteliti dan diputuskan.

“Senarai itu nanti akan dibawa semula kepada Jawatankuasa Pusat untuk kita tentukan siapa yang terbaik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setiap kawasan kebiasaannya akan mengemukakan dua hingga tiga nama calon sebelum keputusan akhir dibuat.

Tambahnya lagi, penelitian terhadap jumlah kerusi serta calon dijangka dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Baca juga: PM Anwar dedah 3 kerjasama strategik hasil pertemuan dengan gergasi industri di Jepun