Rupanya ini manfaat Sabah Southern MADANI Link, projek dirasmikan PM Anwar di Sipitang

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan majlis pecah tanah projek Sabah Southern MADANI Link (SSML) di Dewan Lundayeh, Sipitang dalam rangka kunjungan beliau ke negeri itu semalam.

Anwar memaklumkan bahawa pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman Sabah.

Menurutnya, projek itu juga selaras dengan dasar Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan adil dan saksama tanpa hanya memberikan tumpuan kepada kemajuan di kawasan bandar utama semata-mata.

“Inisiatif strategik ini bakal memperkukuh sistem penghantaran elektrik negeri, meningkatkan keselamatan tenaga serta menyokong pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui demi menjamin bekalan elektrik yang lebih stabil, mampan dan berdaya harap.

“Semoga projek ini dapat disiapkan mengikut jadual serta menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih inklusif, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta membawa limpahan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia amnya,” katanya menerusi perkongsian di platform Facebook.

Menghubungkan Grid Tenaga

Projek SSML ini melibatkan jajaran talian transmisi elektrik 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan Pantai Barat dan Timur Sabah sekali gus memperkukuhkan grid bekalan serta mengimbangi agihan tenaga di negeri itu.

Difahamkan, projek berkenaan mula dibangunkan pada 17 September tahun lalu dan dijadualkan siap pada 16 September 2028 melibatkan kos RM198 juta dengan kemajuan semasa pembangunan setakat 26 Mei lepas adalah di tahap 17 peratus.

Menjamin Bekalan Elektrik Stabil dan Berdaya Tahan

Pelaksanaan projek infrastruktur tenaga ini penting untuk Sabah dalam usaha mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang memberi kesan kepada rakyat, perniagaan dan sektor industri wilayah.

Hal ini kerana projek itu dijangka memperkukuh sistem penghantaran elektrik melalui jaringan grid yang lebih kukuh, selain meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri itu.

Menjadi Asas Pertumbuhan Ekonomi Sabah

Bekalan tenaga yang stabil akan menyokong pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan, minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden dan pembangunan pusat data dan industri berteknologi tinggi.

Kemajuan ini akan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing ke Sabah terutama di kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) serta Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu.

Berpotensi Menjadi Hab Tenaga Hijau di Borneo

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa projek berimpak tinggi ini akan membuka ruang kepada penyertaan Sabah dalam inisiatif ASEAN Energy Grid, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab penghubung tenaga serantau.

Sabah juga berpeluang menjadi hab tenaga hijau di Borneo menerusi sumber hidro, solar dan biojisim yang melimpah dengan integrasi lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid negeri itu di masa hadapan.

“Kedudukan ini menuntut kebijaksanaan dalam perancangan, ketekunan dalam pelaksanaan serta iltizam berterusan untuk memastikan hasil pembangunan diterjemahkan kepada kemudahan yang lebih baik, kos yang berpatutan dan kehidupan yang lebih sejahtera buat rakyat.” Ujarnya lagi dalam hantaran itu.

Baca juga: Indonesia bergolak, mahasiswa lancar protes jalanan gara-gara rupiah terus jatuh