Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Ashgabat, Turkmenistan dalam rangka lawatan kerja dua hari selepas menamatkan kunjungan rasmi beliau ke Kazan, Republik Tatarstan.
Lawatan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan ke negara Asia Tengah itu bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara malah turut membuka ruang kerjasama strategik baharu.
Difahamkan, antara tumpuan utama pemimpin nombor satu negara itu adalah kerjasama membabitkan sektor minyak dan gas, pertanian serta tenaga selari dengan matlamat kerajaan Madani dalam memastikan keterjaminan bekalan.
Berikut kami senaraikan antara kerjasama strategik yang akan dimuktamadkan dalam pertemuan dua hala dijadualkan berlangsung antara Anwar dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.
- Tandatangani Kenyataan Bersama dan Pertukaran Perjanjian
Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Berdimuhamedov untuk membincangkan status semasa hubungan diplomatik dan meneroka kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan.
Sektor yang terlibat dalam peluang kerjasama strategik ini termasuklah minyak dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan, bidang digital selain sains dan teknologi.
Kedua-dua pemimpin itu dijangka akan bertukarkan pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya membabitkan perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah.
Anwar dan Berdimuhamedov juga akan menandatangani kenyataan bersama serta pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimuktamadkan antara kedua-dua kerajaan.
- Menyaksikan Pemetraian MoU Kerjasama Dua Hala
Lawatan itu akan menyaksikan pemetraian tiga MoU dan perjanjian selain empat dokumen berkaitan kerjasama minyak dan gas membabitkan syarikat Petroleum negara, Petronas dengan Turkmenistan.
Berdimuhamedov bersama Anwar juga akan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting dalam kerjasama dua hala termasuk Perjanjian Perkhidmatan Udara dan MoU membabitkan institut hal ehwal luar kedua-dua negara.
Mereka berdua juga akan menyaksikan pemeteraian MoU antara Akademi Sains Malaysia dan Turkmenistan serta perjanjian antara Kementerian Pengangkutan dengan Perkhidmatan Negeri Turkmenistan dalam rangka kunjungan itu.
Baca juga: Operasi licik minyak masak subsidi tumpas, KPDN dedah nilai rampasan cecah RM393,040