300 liter sebulan? Ramai pemilik pikap masih tak tahu mereka boleh mohon tambahan ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kewangan (MOF) mengingatkan orang ramai supaya menyemak kelayakan mereka di bawah inisiatif BUDI MADANI bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Menerusi satu perkongsian di Facebook rasmi, kementerian memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang merupakan warganegara dan memiliki lesen memandu yang masih aktif layak menerima had kelayakan subsidi sebanyak 200 liter sebulan secara automatik.

Menurut MOF, bagi pemilik kenderaan diesel persendirian, had kelayakan 200 liter itu boleh digunakan untuk pembelian RON95 atau diesel bersubsidi, bergantung kepada jenis kenderaan yang dimiliki.

Dalam masa sama, pemilik pikap atau jip diesel persendirian turut diberi kelebihan untuk memohon tambahan 100 liter, sekali gus menjadikan jumlah kelayakan mereka meningkat sehingga 300 liter sebulan.

Kementerian menjelaskan pelaksanaan BUDI MADANI bertujuan memastikan subsidi bahan api disalurkan secara lebih bersasar kepada rakyat Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan.

Orang ramai yang ingin menyemak status kelayakan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari portal rasmi BUDI MADANI.

Baca juga: “Azizah jangan cemburu” – Video PM Anwar ramah mesra dengan penduduk Segamat curi perhatian