Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perjalanan panjang yang perlu ditempuhinya sehingga akhirnya diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara pada lewat usia sebagai satu hikmah.
Malah Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut menganggap pengalaman menghadapi ujian demi ujian termasuk ketika berada di balik jeruji besi sebagai pendidikan sukar diperolehi oleh orang lain.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Simpang Ampat, Alor Gajah Melaka, semalam.
Rakaman sedutan ucapan tersebut kemudian dikongsikan semula menerusi hantaran video berdurasi satu minit 20 saat yang dimuat naik di akaun Facebook milik Anwar pada Khamis.
“Sebab itulah apabila kawan-kawan kata yang Anwar tunggu sampai dekat umur sudah lewat sangat mahu jadi Perdana Menteri, saya kata Allah telah atur. Ini ada hikmahnya. Tiada niat nak beli banglo di New York ke atau beli hotel di London, tidak ada.
“You have tasted the best food in the most famous palace. You have tasted the worst food in the worst prison. (Kamu telah menikmati makanan terbaik di istana yang paling terkenal. Kamu juga telah merasa makanan yang paling teruk di penjara yang paling teruk.
“Itu satu pendidikan yang tidak mudah diperoleh oleh ramai orang. Saya katakan dahulu ya, bintang di langit sudah tersemat di dada. Itu maknanya begitu banyak, penuh. Kemudian, kerana ditelanjangkan habis, pun sudah,” katanya dalam ucapan itu.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu turut menekankan bahawa tumpuan utamanya kini adalah untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin demi menjamin kesejahteraan rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau juga meluahkan rasa syukur berikutan penjawat awam turut bersedia berkerjasama untuk memberikan khidmat terbaik sehingga Malaysia berjaya merekodkan pelbagai prestasi cemerlang.
“Jadi yang perlu ada sekarang ialah berkhidmatlah dengan sebaik mungkin. Syukur Alhamdulillah, pimpinan negara ramai dengan saya, rakan-rakan penjawat awam nampak sedia bersama-sama dan berkhidmat dengan sebaik mungkin. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan.” Ujarnya lagi.
Baca juga: “Azizah jangan cemburu” – Video PM Anwar ramah mesra dengan penduduk Segamat curi perhatian