Populariti PM Anwar rupanya masih belum pudar, kekal dahului carta ‘puas hati’ rakyat

Oleh MALAYSIADATELINE

Gempar di platform media sosial baru-baru ini berhubung ‘kebocoran’ dapatan hasil kajian dalam kalangan pengundi membabitkan pemimpin politik popular Malaysia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mana tidaknya, hasil tinjauan yang dilakukan oleh firma penyelidikan Merdeka Center itu menunjukkan Anwar berada dalam posisi cukup membimbangkan berbanding ahli politik lain termasuk pemimpin pembangkang.

Rupa-rupanya, hasil dapatan yang bocor itu tidak memaparkan keputusan penuh dalam kajian bertajuk ‘Tinjauan Pendapat Awam Kebangsaan: Persepsi Terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa’ tersebut.

Hal ini kerana tinjauan tersebut dilakukan dengan melibatkan responden pelbagai kaum dan latar belakang sedangkan hasil dapatan yang bocor sebelum ini hanya melibatkan pengundi orang Melayu sahaja.

Butiran tambahan yang didedahkan kemudian memaparkan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mendahului ‘Penilaian Kelulusan Pemimpin’ dengan agregat keseluruhan pengundi merentasi semua komuniti.

Berikut kami senaraikan kedudukan sebenar pemimpin berdasarkan hasil kajian ‘bocor’ yang dijalankan antara 12 Mac dan 9 April lalu melibatkan tujuh tokoh politik utama negara itu;

1. Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR

Ahli Parlimen Tambun itu menduduki tempat pertama dengan markah kepuasan penyokong keseluruhan sebanyak 52 peratus, manakala angka ketidakpuasan hati adalah pada kadar 44 peratus.

2. Khairy Jamaluddin, Bekas Ketua Pemuda Umno dan Bekas Ahli Parlimen Rembau

Kedudukan kedua pula diduduki pemimpin yang juga mesra disapa sebagai KJ dengan mengikuti rapat markah Anwar dengan 50 peratus kepuasan penyokong berbanding 31 peratus ketidakpuasan hati.

3. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu berada di tempat ketiga dengan markah sebanyak 36 peratus namun kadar ketidakpuasan hati pengundi di atas prestasi pemimpin terbabit sangat tinggi iaitu 55 peratus.

4. Datuk Seri Rafizi Ramli, Bekas Menteri Ekonomi dan Bekas Timbalan Presiden PKR

Peneraju Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berada di kedudukan keempat dengan markah kepuasan penyokong sebanyak 32 peratus berbanding kadar ketidakpuasan hati sekitar 44 peratus.

5. Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Menteri Terengganu

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berada di kedudukan yang kurang signifikan dengan markah kepuasan keseluruhan penyokong adalah sebanyak 28 peratus berbanding 29 peratus kadar ketidakpuasan hati.

6. Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas

Pemimpin ini berada dalam kedudukan membimbangkan dengan hanya meraih 25 peratus markah kepuasan keseluruhan berbanding sebanyak 55 peratus kadar ketidakpuasan hati pengundi.

7. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri

Presiden UMNO itu berada di kedudukan terakhir dalam tinjauan tersebut dengan markah kepuasan penyokong sebanyak 24 peratus sahaja berbanding 61 peratus kadar ketidakpuasan hati.

Hasil dapatan kaji selidik Merdeka Center melibatkan keseluruhan pengundi merentasi semua komuniti.
Keputusan kaji selidik yang bocor sebelum ini hanya membabitkan masyarakat Melayu sedangkan dapatan melibatkan keseluruhan pengundi pelbagai kaum menunjukkan hasil berbeza.

Baca juga: “Bagi sisa kepada madrasah?” – PU Syed kecewa hampir 20kg daging korban busuk terpaksa ditanam