Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) akan bermula pada 1 Julai 2026, membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 hingga 8 Julai 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia, selain 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut kementerian itu, inisiatif baharu tersebut merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan sekitar 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia.
“Subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh.
“Langkah ini membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api, dan menyokong pertumbuhan negara,” menurut kenyataan itu semalam.
Selain pemilik kenderaan persendirian, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kerajaan turut memperluaskan kelayakan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang didaftarkan atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Akses awal berjalan lancar
MoF memaklumkan akses awal BUDI Diesel yang dibuka sejak 27 Jun lalu berjalan lancar dengan sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi tanpa sebarang masalah serius.
Sehingga jam 12 tengah hari, 30 Jun, kira-kira 80,000 transaksi direkodkan membabitkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter.
Tambahan 100 liter untuk pikap dan jip
Pemilik pikap dan jip diesel yang layak juga boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI.
Setakat jam 9 pagi, 30 Jun, lebih 22,000 permohonan diterima bagi tambahan kuota tersebut.
Fi tukar hak milik dikecualikan
Dalam perkembangan sama, kerajaan mengumumkan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026 bagi pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat.
Pengecualian itu melibatkan fi yang sebelum ini boleh mencecah sehingga RM100.
Bagi memudahkan urusan, kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dibuka pada hujung minggu bermula 4 Julai hingga 26 Julai 2026, dari 8 pagi hingga 5 petang, di semua Pejabat JPJ Negeri dan Pejabat JPJ UTC Negeri.
Kelayakan subsidi boleh dipindahkan kepada ahli keluarga
MoF turut memperkenalkan mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga terdekat sekiranya pengguna sebenar berbeza daripada pemilik berdaftar.
Melalui mekanisme itu, penerima asal boleh memindahkan kelayakan kepada pasangan, ibu atau bapa, anak serta adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
Setakat jam 9 pagi, 30 Jun, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima.
Pemindahan itu hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja. Selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan pemilik asal.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had bulanan serta maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI.
Baca juga: Akses awal BUDI Diesel berjalan lancar, 1 juta liter minyak subsidi terjual hari ini!