Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Majlis Pendidikan Negara diwujudkan untuk memacu perubahan yang berani dan bermakna agar sistem pendidikan Malaysia kekal relevan dengan tuntutan zaman.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan perubahan ini termasuk dengan menambah baik kandungan dan kurikulum yang memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Kewangan itu turut memberi penekanan bahawa penambahbaikan ini perlu dilakukan tanpa mengabaikan nilai, budaya, bahasa kebangsaan serta akhlak yang menjadi teras Malaysia Madani.
Perkara tersebut disampaikan Anwar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 untuk meneliti hala tuju sistem pendidikan merangkumi peringkat sekolah dan pengajian tinggi.
“Perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera serta membina hala tuju bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemetik) demi memenuhi keperluan masa hadapan negara.
“Pendidikan negara perlu dinilai secara objektif, berpandukan pandangan serta kepakaran pelbagai pihak, agar setiap langkah yang diambil benar-benar mempersiapkan generasi masa hadapan,” jelas pemimpin nombor satu negara itu dalam perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Menerusi perkongsian sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut menitikberatkan mengenai budaya ‘berpuas hati’ dengan sistem sedia ada yang seharusnya tidak boleh menghalang kemajuan pendidikan negara.
Sebaliknya perkara yang lebih penting adalah kesediaan negara dan warga pendidik untuk berubah, berani melakukan pembaharuan dan terus mengangkat mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Baca juga: Harga diesel RM2.10 bermula hari ini! Semak sama ada anda layak atau tidak