Kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak pentabiran negeri adalah kunci untuk mempercepatkan pembangunan serta menyelesaikan keperluan rakyat secara lebih berkesan.
Perkara tersebut ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di platform Facebook bersama rakaman ucapannya dalam Sambutan Hari Peneroka FELDA dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA, semalam.
Hal ini berikutan kerjasama dan rundingan melibatkan kedua belah pihak akan melancarkan proses pelaksanaan pelbagai projek termasuk pembangunan sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Apabila hubungan dibina atas asas saling menghormati, saling mempercayai dan sentiasa berunding, setiap ikhtiar dapat dilaksanakan dengan lebih lancar demi kesejahteraan rakyat.
“Inilah semangat kebersamaan yang harus terus diperkukuh,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya bersama rakaman ucapan beliau yang berdurasi 48 saat.
Dalam ucapan tersebut, Anwar sempat menyentuh keakraban hubungan terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Pahang yang wajar dijadikan sebagai contoh oleh pihak pentadbiran dan kepimpinan negeri-negeri lain.
Hasil daripada kerjasama ini membolehkan pelbagai isu rakyat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan terutamanya membabitkan pelaksanaan pelbagai projek yang memerlukan sokongan kerajaan negero.
“Kalau hubungan Kerajaan Persekutuan dengan pihak kerajaan negeri baik, segala permohonan dan masalah boleh diselesaikan dengan lebih mudah. Yang mendapat manfaat akhirnya ialah rakyat.” Ujarnya dalam rakaman itu.
Terdahulu, Anwar merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, semalam bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan peneroka yang menjadi tulang belakang pembangunannya agensi itu sejak 1956.
Baca juga: “Kita tak mahu rakyat risau” – Mat Sabu jamin bekalan makanan kekal stabil