Usah pening-pening! Dr Zulkifli kongsi panduan pilih pemimpin dianjur Islam

Oleh MALAYSIADATELINE

Calon pemimpin tidak seharusnya dipilih mengikut faktor populariti, emosi atau kepentingan diri sebaliknya perlulah bersandarkan penilaian sifat mereka seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Peringatan itu disampaikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut berkongsikan panduan berhubung sifat-sifat perlu dimiliki oleh pemimpin untuk dipilih sebagai wakil rakyat dalam terutama mentadbir negara.

Difahamkan, panduan tersebut dikongsikan beliau sempena dengan kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di Johor hari ini bagi menentukan barisan kepimpinan bakal mentadbir wilayah Selatan negara itu.

“Memilih pemimpin bukan sekadar memilih seorang individu, tetapi memilih insan yang akan memikul amanah besar dalam memimpin agama, menjaga kebajikan rakyat, dan mengurus tadbir negara.

“Marilah kita memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan pemimpin yang bertakwa, adil, amanah, dan sentiasa meletakkan maslahat umat mengatasi kepentingan peribadi.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pemimpin yang memimpin dengan amanah, menegakkan keadilan, dan membawa keberkatan kepada agama, bangsa, dan negara. Selamat Mengundi,” katanya dalam hantaran itu.

Menurutnya, rakyat perlu mendukung pemimpin yang bukan sahaja beriman dan bertakwa kepada Allah malah turut bersikap amanah serta jujur terutama dalam memikul tanggungjawab selain berilmu.

Wakil rakyat yang dipilih juga mestilah memiliki keupayaan dalam mentadbir negeri atau negara, mampu berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat serta berakhlak mulia dan menjaga kepentingan rakyat.

“Firman Allah SWT yang bermaksud; Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan sebaik-baik pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58).

“Ya Allah, lantiklah bagi kami pemimpin daripada kalangan yang terbaik dan janganlah Engkau lantik ke atas kami pemimpin daripada kalangan yang buruk.” Tulis beliau yang turut berkongsikan doa boleh diamalkan rakyat dalam menentukan pilihan mereka.

Baca juga: Baru 48.91 peratus keluar mengundi setakat 2 petang, SPR gesa warga Johor jangan tunggu saat akhir