Kerajaan Madani berpendirian tegas bahawa tiada pelarian yang kebal dari dikenakan tindakan undang-undang di negara ini, termasuk di kalangan pemegang kad Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Pendirian tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai isu pengurusan pelarian di Malaysia yang ketika ini menjadi perhatian rakyat.
Menurutnya, mana-mana pelarian didapati bersalah dikenakan tindakan mengikut undang-undang Malaysia dan kerajaan kini sedang melaksanakan pendaftaran secara lebih teratur untuk mendapani masalah ini.
“Pelarian yang melakukan jenayah telah pun diambil tindakan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa kompromi selaras dengan undang-undang negara.
“MTEN turut memberikan perhatian kepada pengurusan pelarian yang menjadi perhatian rakyat ketika ini. Pendaftaran pelarian secara lebih teratur sedang dilaksanakan,” katanya dalam perkongsian itu.
Pemimpin nombor satu negara itu menjelaskan bahawa teknologi dan analitik data yang diperolehi daripada pendaftaran tersebut akan dimanfaatkan bagi membanteras penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Usaha itu juga dijangka dapat membantu dalam membendung jenayah seperti penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram yang menggugat kedaulatan negara.
Difahamkan, Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang dilaksana Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen itu merangkumi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan dan penguatkuasaan.
Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion juga disalurkan kerajaan merentasi beberapa agensi bagi melaksanakan projek yang berkaitan dengan kawalan dan keselamatan di pintu masuk Malasyai
Perluasan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan juga dipercepatkan dengan tujuan untuk menyeragamkan pengurusan serta penguatkuasaan di kawasan perbatasan.
Baca juga: BEZ Malaysia-Thailand, Krisis Di Selat Hormuz Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini