Rakyat Malaysia kecam pelancong asing biarkan anak buang air besar dalam tong sampah di KLIA

Oleh KIM SYAZIE

Orang awam berjaya merakam perbuatan pengotor seorang pelancong asing yang didakwa membiarkan anaknya membuang air besar di dalam tong sampah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Video itu dimuat naik di Threads oleh Oklatuu700.

Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki dilihat mendukung anaknya dan membiarkan kanak-kanak itu mencangkung di atas tong sampah.

Kanak-kanak itu kemudian membuang air besar dalam keadaan lapangan terbang itu penuh pengunjung.

“Ke manakah adab manusia ini? Padahal tandas dekat je untuk bawa anak membuang air besar. Boleh suka-suka biarkan anak buang najis yang busuk di tong sampah ni.

“Kasihan pekerja pembersihan nak kena bersihkan tong sampah dan kasihan penumpang kena hadap bau busuk?,” katanya pada hantaran tersebut.

Menurutnya, wanita tersebut dipercayai terus melangkah ke tandas untuk mencuci tangan selepas selesai urusan anaknya di tong sampah itu.

“Patut kena tindakan khidmat masyarakat ke kalau macam ini? Tolong lah beradab sikit di tempat awam. Jangan jadi pengotor,” ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pelancong tersebut yang dianggap tidak menghormati budaya di negara ini dan mengabaikan kebersihan di tempat awam.

Baca juga: Anwar Ibrahim akan umum semua calon PH esok, hadapi PRN Negeri Sembilan