BEZ Malaysia-Thailand, Krisis Di Selat Hormuz Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

Oleh ROSLAN ZAMAN


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) — Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand dan kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz antara perkara yang dibangkitkan pada Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini


Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) bertanyakan Perdana Menteri mengenai manfaat ekonomi yang dijangka diperoleh Malaysia daripada pembangunan BEZ Malaysia-Thailand.


Beliau juga ingin tahu mekanisme dalam memastikan manfaat itu turut dinikmati perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus mesyuarat bermula pada 10 pagi.


Pada sesi sama, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Perdana Menteri menyatakan penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta langkah yang sedang diambil bagi mengurangkan impaknya.


Turut menarik perhatian, soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) kepada Menteri Pengangkutan pada sesi soal jawab mengenai langkah kementerian untuk menoktahkan lumba haram kenderaan di lebuh raya seluruh negara seperti yang terjadi di Simpang Renggam, Johor pada 1 Jun lepas.


Usai sesi soal jawab, mesyuarat dijadual diteruskan dengan bacaan kali pertama dua Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Statistik 2026 oleh Menteri Ekonomi dan RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 oleh Menteri Kewangan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian akan membentangkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.


Semalam, Azalina dalam kenyataan berkata hasil penelitian JKPK yang telah bersidang tujuh kali berjaya memperhalusi cadangan asal pindaan itu melalui tujuh penambahbaikan utama yang mempertingkatkan kebebasan, integriti dan akauntabiliti institusi Pendakwa Raya.


Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun lepas hingga Khamis ini.
— BERNAMA