KKM kini diberi kuasa penuh urus perjawatan, 4,500 doktor kontrak bakal diserap tetap!

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh usaha menangani isu kekurangan dan ketidakseimbangan pengagihan doktor menerusi beberapa reformasi baharu.

Ini termasuk pemberian autonomi penuh dalam pengurusan perjawatan serta tawaran pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak tahun ini.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, autonomi penuh yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa 9 Julai lalu membolehkan kementerian itu menyusun dan mengagihkan sendiri perjawatan bagi mempercepatkan pengisian kekosongan di hospital serta fasiliti kesihatan.

Menurut KKM, tawaran pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak pada tahun ini pula menjadikan jumlah keseluruhan pelantikan tetap melebihi 18,500 sejak 2023 di bawah Kerajaan MADANI.

Langkah itu merupakan antara reformasi penting yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam usaha menjaga kebajikan pegawai perubatan, KKM turut memberi jaminan pemberian elaun perpindahan penuh kepada mereka yang berpindah ke fasiliti baharu.

Mulai Julai 2026, pegawai perubatan yang terlibat layak menuntut elaun makan, sewa hotel dan kos pengangkutan barang.

Bagi menangani isu ketidakseimbangan pengagihan doktor atau maldistribusi, pegawai perubatan kontrak yang dilantik secara tetap melalui sistem ePlacement diwajibkan memilih penempatan di Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 2025.

KKM turut memendekkan tempoh penempatan latihan siswazah perubatan kepada dua bulan bagi membantu mempercepatkan pengagihan sumber manusia kesihatan.

Berdasarkan data setakat 2024, nisbah doktor di peringkat nasional adalah seorang doktor bagi setiap 403 penduduk. Namun, nisbah itu lebih rendah di Sarawak dan Sabah, iaitu seorang doktor bagi setiap 590 penduduk.

Pada masa sama, KKM turut memberi perhatian terhadap pembangunan kerjaya pegawai perubatan, termasuk menerusi Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), kenaikan pangkat secara time-based dan kemasukan secara lateral entry ke gred UD10.

Dalam aspek pengiktirafan kelayakan luar negara, sebanyak 349 institusi dunia kini diiktiraf di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, termasuk beberapa universiti di China.

Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga bersetuju memperkemas proses penilaian terhadap program luar negara yang belum diiktiraf bagi tujuan pengiktirafan berdasarkan piawaian yang diluluskan majlis berkenaan.

KKM menegaskan, langkah jangka pendek dan panjang itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan tenaga kerja kesihatan negara sentiasa mencukupi, bermutu tinggi serta dapat diagihkan secara lebih adil dan berkesan.

Baca juga: BEZ Malaysia-Thailand, Krisis Di Selat Hormuz Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini