Kerajaan menyalurkan peruntukan RM327 juta untuk membangunkan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang dijangka menjadi hab logistik darat strategik negara dengan rangkaian pengangkutan menjangkau sehingga ke Laos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pembangunan PIP ini adalah projek utama negara di bawah Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand bertujuan untuk memperkukuh perdagangan rentas sempadan.
Pembangunan pelabuhan ini juga akan meningkatkan kecekapan logistik selain turut merancakkan pertumbuhan ekonomi terutama di wilayah utara Semenanjung negara sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat.
Perkara itu dikongsikan Anwar merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini ketika memberi jawapan berhubung persoalan dibangkitkan dalam Waktu Pertanyaan Menteri yang mana rakamannya turut dimuat naik di platform Facebook.
“Sebelum ini, barang-barang dari Malaysia tidak dapat melepasi beberapa sekatan kastam di Thailand untuk ke Laos, Kemboja dan Vietnam. Tetapi dengan perjanjian baru ini, Perdana Menteri Thailand bersetuju memberikan kelonggaran.
“Maknanya peluang perdagangan terbuka untuk Malaysia dari bidang perikanan dan pertanian dengan urusan melepasi sekatan-sekatam ini kastam dapat dikendalikan dengan lancar terutama di zon ZES.
“Sehubungan itu, kerajaan membelanjakan RM327 juta bagi pembangunan PIP yang berfungsi sebagai hab logistik penting dengan jaringan menjangkau hingga ke Laos,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.
Hal ini berikutan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu meminta penjelasan mengenai manfaat ekonomi daripada pembangunan BEZ serta mekanisme dalam memastikan perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan menerima manfaat.
Menurut Anwar, kluster logistik PIP itu disasarkan untuk mengendalikan kapasiti sehingga 300,000 unit bersamaan dengan dua puluh kaki (TEU) pada fasa pertama sebelum diperluaskan mengikut pertumbuhan perdagangan serantau.
Pembangunan ini juga akan diperkukuhkan melalui integrasi dengan beberapa projek strategik lain di utara Semenanjung termasuk Chuping Valley Industrial Area di Perlis, Kulim Hi-Tech Park, Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City.
“Pembinaan Jambatan Sungai Golok dan Rantau Panjang pula menelan belanja RM45 juta. Kita juga sudah mencadangkan agar Kerajaan Negeri membangunkan kawasan persekitaran Rantau Panjang dari segi perdagangan, peniaga dan perusahaan kecil.
“Manfaat ini dapat dinikmati masyarakat terutama Melayu Bumiputera. Usaha ini juga dirangkum dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di mana Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembangkannya dari Tumpat ke sempadan Rantau Panjang.
“Perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, kita cadangkan supaya laluan kereta api tersebut dapat diteruskan ke Thailand dengan jalur yang sama seperti dibincangkan Kementerian Pengangkutan.” Ujarnya dalam rakaman itu.
Hasilnya, kecekapan rantaian bekalan akan meningkat selain menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing, memperkukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab logistik serta perdagangan darat utama ke negara-negara Indochina.
Baca juga: Harga Minyak Malaysia Lebih Rendah Berbanding Arab Saudi, Qatar – Anwar