Agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Ratings (Moddy’s) menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang dengan lebih cepat pada tahun 2026 berbanding negara berpenarafan setara disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing.
Menurut agensi tersebut, pencapaian berkenaan juga disumbangkan oleh prospek pertumbuhan kukuh untuk jangka masa sederhana dibantu dengan sumber asli mencukupi, simpanan domestik dan asas pelabur domestik yang besar.
Hasilnya, keperluan pembiayaan kerajaan dapat disokong dengan baik, risiko kecairan juga dapat dikurangkan serta mengekalkan kos pinjaman pada tahap yang sederhana sekali gus merancakkan ekonomi negara dalam ketidaktentuan global.
Berikut kami kongsikan antara faktor penyumbang yang menyebabkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan malah berkembang cukup pesat berbanding negara lain berdasarkan laporan Moody’s;
1. Permintaan domestik yang memberansangkan
- Ekonomi kekal kukuh dengan permintaan domestik khususnya membabitkan penggunaan dan pelaburan swasta selain menerima sokongan hasil daripada eksport elektronik.
- Faktor ini membantu negara berdepan ketidaktentuan harga tenaga global serta permintaan luar yang lebih perlahan sekali gus mencatatkan prestasi cemerlang untuk Malaysia berbanding negara berdaulat berpenaratan setara lain.
2. Pembaharuan hasil sejak 2023
- Reformasi ini diiktiraf oleh Moddy’s kerana telah berjaya memperluaskan asas hasil cukai kerajaan sekali gus menyokong usaha konsolidasi fiskal secara beransur-ansur walaupun berdepan masalah peningkatan perbelanjaan.
- Peningkatan ini melibatkan perbelanjaan subsidi akibat harga tenaga global yang tinggi serta kenaikan pembiayaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Bela(RMK13).
3. Institusi eksekutif dan perundangan Malaysia yang kukuh
- Institusi eksekutif dan perundangan Malaysia merekodkan prestasi penggubalan dasar makroekonomi berkesan, syarat pembiayaan domestik menggalakkan dan kestabilan makroekonomi yang luas.
4. Profil kredit negara yang seimbang
- Tinjauan stabil mencerminkan risiko seimbang dengan ekonomi yang kukuh dan penyatuan fiskal lebih pantas boleh menyokong penjanaan hasil lebih tinggi, pengurangan hutang material dan kemampuan hutang dengan lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa penilaian Moody’s ini mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia serta kemajuan yang dicapai dalam mengukuhkan disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan meluaskan asas hasil.
Kerajaan Madani juga kekal komited terhadap objektif fiskal yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) selain terus meluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan menyasarkan subsidi yang lebih baik serta melindungi kebajikan.
“Agenda reformasi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, masih panjang perjalanan sebelum hasilnya dapat dirasai sepenuhnya. Penilaian ini tidak seharusnya menjadikan kita alpa atau leka.
“Sebaliknya, ia harus memperkukuh tekad kita untuk terus mempergiat ikhtiar reformasi demi memastikan pengurusan ekonomi yang berhemah benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas serta kesejahteraan yang dapat dirasai oleh rakyat.
“Dalam suasana dunia yang masih diselubungi ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran global, Malaysia mesti terus memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar dan momentum reformasi. Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekonomi negara serta memperkukuh asas pertumbuhan yang mampan.” Ujarnya dalam kenyataan dikongsikan Kementerian Kewangan itu.
Baca juga: Apa sebenarnya berlaku dalam industri padi dan beras? KPKM kumpul 41 pihak cari jalan keluar