Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan sebarang dasar baharu membabitkan industri padi dan beras negara tidak boleh dirangka secara bersendirian atau menggunakan pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’.
Sebaliknya, kementerian komited mendengar dan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan bagi merangka hala tuju serta dasar baharu industri berkenaan yang lebih mampan, adil dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, KPKM mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 14 Julai lalu yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mesyuarat julung kali itu menghimpunkan 41 pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai rantaian industri termasuk pesawah, pengilang, pemborong, pengeluar benih padi, pengurusan tertinggi KPKM serta agensi berkaitan.
Menurut KPKM, pendekatan itu selaras dengan prinsip kementerian bahawa sebarang dasar baharu membabitkan industri padi dan beras perlu dirangka berdasarkan realiti sebenar di lapangan.
Ini termasuk mengambil kira pandangan pihak yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan rantaian industri.
Kementerian mengakui industri padi dan beras negara berhadapan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, sekali gus memerlukan penyelesaian menerusi proses libat urus yang terbuka, menyeluruh dan berterusan.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah kesan peningkatan kos operasi terhadap industri, pengurusan dan kawalan Benih Padi Sah (BPS), serta usaha memperkukuh infrastruktur, mekanisasi dan sistem pengairan.
Turut dibincangkan ialah isu pengilangan, penggredan dan pelabelan beras, selain cadangan intervensi kerajaan.
KPKM memaklumkan semua pandangan dan cadangan yang dibangkitkan akan diteliti serta diperincikan oleh Jawatankuasa Teknikal Khas sebelum cadangan bersesuaian dipertimbangkan untuk diangkat ke peringkat dasar.
Pada masa sama, kementerian akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pembaharuan mengambil kira kepentingan keseluruhan ekosistem industri, daripada pesawah dan pengeluar benih hingga pengilang, pemborong, peruncit serta pengguna.
KPKM berkata, dasar yang baik perlu dibina melalui proses mendengar, menilai dan mencari titik keseimbangan antara kepentingan semua pihak.
Matlamatnya adalah untuk membangunkan industri padi dan beras negara yang lebih cekap, telus, mampan dan berdaya tahan, di samping memastikan bekalan beras negara terus mencukupi dan terjamin.
Baca juga: PM Anwar rasmi pelabuhan AI, Linggi dan Port Dickson akan jadi hab ekonomi baharu