Ringgit Malaysia satu-satunya mata wang kukuh berbanding dolar AS di Asia Tenggara

Oleh MALAYSIADATELINE

Ringgit Malaysia kembali merekodkan pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai satu-satunya mata wang yang menunjukkan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara.

Berdasarkan laporan Seasia Stats, Ringgit Malaysia menjadi mata wang yang paling kukuh di rantau itu apabila mencatatkan peningkatan nilai sebanyak 4.24 peratus berbanding dolar AS setakat ini.

Perkembangan positif ini mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia serta disokong peningkatan asas domestik, prestasi eksport yang lebih kukuh dan sentimen pasaran cukup menggalakkan.

“Mata wang Asia Tenggara menunjukkan prestasi yang berbeza berbanding dolar AS, sekali gus mencerminkan perbezaan dalam keadaan ekonomi, dasar monetari dan sentimen pelabur di seluruh rantau ini.

“Walaupun sesetengah mata wang menunjukkan daya tahan, namun mata wang lain pula menghadapi susut nilai yang ketara di tengah-tengah ketidaktentuan kewangan global dan kekuatan berterusan dolar AS.

“Namun pengukuhan nilai Ringgit membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya dalam menangani tekanan ekonomi luaran berbanding kebanyakan mata wang serantaunya,” kata laporan tersebut.

Menurut laporan tersebut, Dong Vietnam pula mencatatkan penurunan sederhana pada kadar 0.64 peratus menjadikannya salah satu mata wang yang paling stabil di Asia Tenggara sepanjang tempoh sama.

Susut nilai dalam kadar terhad itu adalah hasil pertumbuhan stabil ekonomi Vietnam, sektor pembuatan yang berdaya tahan dan pengurusan kadar pertukaran berhemat dalam membantu mengurangkan kesan turun naik pasaran global.

Manakala Dolar Singapura sebagai salah satu pusat kewangan yang terkemuka di Asia turut menunjukkan daya tahan dalam mendepani cabaran ekonomi global dengan hanya jatuh sebanyak 0.78 peratus berbanding dolar AS.

“Singapura terus mendapat manfaat daripada asas makroekonomi yang kukuh dan rangka kerja dasar monetari yang boleh dipercayai, membantu mengehadkan turun naik mata wang meskipun keadaan global yang mencabar.

“Baht Thailand mencatatkan penurunan lebih besar sebanyak 2.68 peratus berikutan pemulihan ekonomi yang lebih perlahan, momentum lemah pelancongan dalam tempoh tertentu selain turut menghadapi tekanan pasaran luaran,” ulasnya.

Laporan tersebut juga menjelaskan bahawa mata wang Baht Thailand kekal sensitif terhadap perubahan dalam aliran modal global dan risiko pelabur walaupun ekonomi negara tersebut semakin pulih.

Dalam pada itu, Peso Filipina pula melemah dengan ketara selepas jatuh kepada 8.82 peratus berbanding dolar AS ekoran kos import lebih tinggi, tekanan inflasi dan dolar AS yang lebih kukuh menyumbang kepada susut nilai mata wang tersebut.

“Rupiah Indonesia mencatatkankan prestasi paling lemah dengan menurun 11.54 peratus kerana menghadapi tekanan berterusan daripada ketidaktentuan pasaran kewangan global, aliran keluar modal dan kekuatan dolar AS.

“Walaupun langkah-langkah dasar yang bertujuan untuk mengekalkan kestabilan mata wang telah dilakukan, namun faktor luaran terus memberi kesan yang besar terhadap kadar pertukaran.

“Situasi ini menggariskan kepentingan dasar makroekonomi yang kukuh, asas ekonomi berdaya tahan dan pengurusan monetari berkesan dalam mengekalkan kestabilan mata wang di tengah perkembangan landskap ekonomi global.” Ujar laporan itu.

Baca juga: ‘RON95 naik 5 sen, diesel 10 sen’ – Kerajaan jamin harga subsidi tidak berubah