Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila Moody’s Ratings mengekalkan penarafan berdaulat negara pada A3 dengan Tinjauan Stabil, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan asas ekonomi dan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan Moody’s telah selesai menjalankan semakan berkala terhadap penarafan berdaulat Malaysia, dengan penarafan penerbit mata wang asing dan tempatan jangka panjang negara dikekalkan pada tahap A3.
Menurut kementerian itu, Moody’s turut mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.6 peratus pada 2026, mengatasi semua negara lain yang mempunyai penarafan setara.
MoF berkata unjuran itu disokong oleh struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh serta simpanan domestik yang besar.
“Moody’s turut menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.6 peratus pada 2026, mengatasi semua negara berpenarafan setara yang lain.
“Disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang kukuh serta simpanan domestik yang besar,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan beberapa petunjuk ekonomi negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Termasuk pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus, serta pewujudan 48,500 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh sama.

Selain itu, Malaysia turut melonjak ke kedudukan ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026, meningkat lapan anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Manakala ringgit mengukuh 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2025, sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agenda reformasi yang sedang dilaksanakan memerlukan komitmen berterusan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
“Agenda reformasi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, masih panjang perjalanan sebelum hasilnya dapat dirasai sepenuhnya.”
Beliau berkata pencapaian semasa tidak seharusnya menyebabkan semua pihak berasa selesa.
“Penilaian ini tidak seharusnya menjadikan kita alpa atau leka. Sebaliknya, ia harus memperkukuh tekad kita untuk terus mempergiat ikhtiar reformasi.”
Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus memastikan kestabilan negara menjadi keutamaan.
“Malaysia mesti terus memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar dan momentum reformasi.”
Menurut MoF, Kerajaan MADANI komited memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui kesinambungan reformasi serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Baca juga: Strategi RESET Tangani Inflasi Kos Kesihatan, Program Rintis MediAsas Bermula Akhir Julai – Liew