Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan dukacita di atas pemergian sahabat karib yang disifatkannya sebagai antara sarjana Islam terkemuka dunia iaitu Profesor John L. Esposito.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar mengakui mengenali Esposito sejak awal tahun 1970-an lagi dan persahabatan mereka kekal erat selama lebih daripada lima dekad.
Anwar memaklumkan bahawa sumbangan Esposito dalam dunia Islam terutama di Barat sememangnya cukup besar termasuk usaha memperkukuhkan hubungan antara masyarakat Muslim dan Kristian.
Esposito juga memainkan peranan besar dalam membina asas intelektual bertujuan membina jambatan persefahaman masyarakat Barat terhadap Islam ketika pihak lain lebih selesa membina tembok pemisah antara peradaban.
“Saya akan mengenang John bukan sahaja sebagai seorang sarjana yang hebat. Tetapi lebih daripada itu, beliau seorang rakan yang nasihatnya saya hargai selama bertahun-tahun. John sangat pemurah dalam perbualan peribadi dan teliti menyampaikan mesej. Dia juga tetap bersama saya dalam susah dan senang.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah yang mendalam kepada isteri tercinta iaitu Jean dan keluarga, rakan sekerja serta pelajar John. Semoga ilmu dan dialog yang disumbangkan sepanjang hayatnya terus membuahkan hasil. Sehingga ke akhirnya, beliau kekal sahabat sejati dunia Islam,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Anwar turut berkongsikan serba sedikit latar belakang Esposito yang bergelar pengasas Pusat Persefahaman Muslim-Kristian di Universiti Georgetown dan penyunting karya rujukan Oxford Encyclopaedia of the Islamic World.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pengajian Timur Tengah Amerika Utara selain mmenghasilkan buku Makers of Contemporary Islam bersama John Voll yang mengkaji kepelbagaian serta perbezaan haluan pemikiran politik Muslim moden.
Karya lain dihasilkan Esposito seperti ‘What Everyone Needs to Know About Islam’ dan ‘Who Speaks for Islam?’ yang ditulis oleh beliau bersama Dalia Mogahed juga berjaya mengembangkan pemahaman mengenai Islam kepada khalayak lebih luas.
Jelas Anwar, penghasilan karya-karya seperti itu sememangnya penting terutamanya ketika masyarakat dunia memerlukan penerangan yang lebih tepat dan mendalam mengenai Islam selepas peristiwa serangan 11 September 2001.
Baca juga: Perbelanjaan Pengguna Malaysia Dijangka Meningkat Pada 2026 – BMI