Perbelanjaan pengguna Malaysia dijangka meningkat pada 2026, disokong oleh pertumbuhan ekonomi dan prospek pekerjaan yang stabil, menurut BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions.
Dalam satu kenyataan, BMI memaklumkan perbelanjaan isi rumah diunjurkan meningkat sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun secara nyata kepada RM1.10 trilion (berdasarkan harga tahun 2010), jauh melebihi nilai sebelum pandemik COVID-19 pada 2019 sebanyak RM779.7 bilion.
“Selain itu, pasaran tenaga kerja negara yang kukuh akan menyokong perbelanjaan pengguna, dengan pertumbuhan gaji sebenar diunjurkan mengatasi inflasi dengan selesa dan menyokong kuasa beli sepanjang tahun.
“Pada 2027, jumlah perbelanjaan isi rumah akan berkembang pada kadar sebenar 4.1 peratus tahun ke tahun, mencecah RM1.14 trilion,” katanya.
Bagaimanapun, katanya perbelanjaan akan dikekang oleh paras hutang yang tinggi dan kos pembayaran balik hutang yang berkaitan, dengan sedikit kelegaan apabila Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada 2.75 peratus sepanjang tahun.
Sementara itu, BMI mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada purata 4.3 peratus tahun ke tahun pada 2026, kekal stabil dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun pada 2027.
Tidak seperti negara serantau lain, katanya kedudukan unik Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih akan menyokong pendapatan eksport negara.
“Bagaimanapun, kami menjangka hasil berkaitan petroleum yang lebih kukuh dan dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan memberikan imbangan yang ketara terhadap peningkatan kos subsidi, selain memperkukuh komitmen penggubal dasar terhadap konsolidasi fiskal.
“Ini bermakna dasar fiskal akan menguncup, mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah,” katanya.
Mengenai pekerjaan, BMI menjangka kadarnya akan mencatat purata 3.1 peratus daripada tenaga kerja pada 2026 dan 2027, disokong oleh pelaburan asing yang kukuh, prestasi sektor pelancongan yang meningkat dan aktiviti yang lebih rancak dalam sektor utama termasuk perniagaan tani, elektronik dan pembuatan.
“Bagaimanapun, jika keadaan ekonomi bertambah buruk — contohnya, jika pertumbuhan di tanah besar China menjadi lebih perlahan daripada dijangkakan — terdapat risiko peningkatan kadar pengangguran yang akan memberi impak kepada prospek pengguna yang lemah,” katanya.
— BERNAMA
Baca juga: PH Sudah Jangka Strategi Politik BN, PN Hadapi PRN Negeri Sembilan – Loke